suria

5 Adun Upko enggan sertai Warisan, setia kepada BN

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika sidang media mengumumkan keluar dari BN di Magellan Sutera Resort. -fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Lima wakil Upko yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 semalam mengumumkan tidak akan menyertai pucuk pimpinan parti membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebaliknya mereka iaitu Ewon Benedict (Kadamaian), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Bobbey Ah Fan Bin Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), mengikrarkan taat setia kepada Barisan Nasional (BN).

Keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) Upko pada mesyuarat tergempar untuk keluar BN dan bergabung dengan Warisan adalah tanpa pengetahuan mereka, kata Masiung yang juga Naib Presiden Upko pada sidang media di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di sini Khamis.

Hadir sama Pengerusi BN negeri Tan Sri Musa Aman.

"Saya tegaskan bahawa kami tidak pernah dirujuk berhubung keputusan daripada mesyuarat tergempar itu," katanya.

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada satu sidang media ringkas tengah hari tadi mengumumkan parti itu memutuskan keluar daripada BN dan akan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan.

Madius juga berkata kelima-lima wakil rakyat Upko yang baru dipilih terbabit akan dipanggil ke Istana Negeri untuk menyatakan pendirian mereka.

Sementara itu, Masiung menafikan dakwaan mereka berlima dikurung di Sri Gaya sejak malam tadi, sebaliknya kata beliau mereka datang ke situ secara sukarela untuk bertemu Musa.

Limus pula berkata keputusan pucuk pimpinan Upko untuk keluar BN adalah tidak betul memandangkan mereka menang atas tiket BN.
-Bernama

Upko, PRU14

Artikel Lain