suria

PRU14: “Ada orang guna nama saya”

Rosli melaksanakan undian awal bagi PRU14 di Dewan Badminton Perumahan Polis Jalan Alor Akar pada Ahad. - Bernama

KUANTAN: Tiga pengundi di Pahang membuat laporan polis setelah nama mereka digunakan untuk mengundi menyebabkan mereka tidak dapat berbuat demikian pada Pilihan Raya  Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, laporan itu membabitkan dua kes di Temerloh manakala satu kes lagi di daerah ini.

“Laporan itu diterima daripada dua pengundi di Temerloh iaitu membabitkan seorang warga emas berusia 68 tahun yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai dan seorang lagi berusia 29 tahun yang mengundi di  Sekolah Kebangsaan Mentakab Jaya.

“Manakala kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Galing di sini,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Menurut beliau, laporan berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang wanita yang menggunakan nama Dayah Yazid di Facebook tular selepas mendakwa dia tidak dibenarkan mengundi kerana namanya didaftar sudah mengundi.

Setakat ini, posting yang dimuat naik pada petang Rabu itu menerima lebih 17,000 tanda suka (likes) dan mendapat 23,797 perkongsian.

Wanita terbabit turut mendakwa dia segera membuat laporan di Balai Polis Gombak berhubung isu tersebut.

PRU14

Artikel Lain