suria

Dua calon PPBM 'tak lepas'

Calon Pakatan Harapan dari PPBM untuk DUN Bukit Pasir, Pizi Jihat (duduk) berbincang bersama pegawai SPR selepas pencalonannya ditolak pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh Sabtu. Turut sama calon Pakatan Harapan Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin. -fotoBERNAMA

PAGOH: Harapan calon Pakatan Harapan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir musnah apabila calonnya Pizi Jihat hilang kelayakan kerana muflis.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mempersoalkan mengenai penolakan kertas pencalonan Pizi.

"Kita dah suruh dia selesaikan dan telah semak dalam 'website' nama dia dah 'clear'. Tetapi bila dokumen dibentang depan RO (pegawai pengurus pilihan raya), semakan terkini mendapati dia masih lagi bankrap dan tidak layak bertanding, " kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta pegawai berkenaan untuk mengesahkan status Pizi sekali lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata pencalonan Pizi kemudian ditolak apabila pengumuman rasmi dibuat.

"Saya kecewa dengan keputusan itu dan melihat perkara ini sebagai serius," katanya sambil menambah PPBM bersama peguam parti akan meneliti semula punca masalah tersebut.

Pengumuman calon untuk kerusi Parlimen Pagoh dan kerusi negeri di sini ditangguhkan sehingga 11.40 pagi oleh RO Zainor Adani kerana masa diperlukan untuk mengesahkan status Pizi dengan Jabatan Insolvensi.

Ketika mengumumkan calon-calon yang bertanding, Zainor hanya menyatakan bahawa pencalonan Pizi ditolak tanpa memberi alasan.

Apabila ditemui oleh pemberita, Pizi mendakwa bahawa permohonannya ditolak kerana masalah 'teknikal'.

Pizi, yang mendakwa bahawa telah membersihkan statusnya, berkata dia akan menyelesaikan perkara itu mengikut undang-undang.

Apabila Pizi hilang kelayakan ia akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Datuk Noraih Mahat (BN) dan Kapten (B) Najib Lep (PAS).

Kerusi Parlimen Pagoh akan melihat pertempuran tiga penjuru antara Muhyiddin, Ismail Mohamed (BN) dan PAS Ahmad Nawfal Mahfodz.

Sementara itu nasib yang sama turut dialami calon PPBM, Yaakob Osman apabila tidak dibenarkan bertanding di kerusi DUN Penaga kerana terdapat rekod bahawa beliau diisytiharkan muflis.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi calon tidak boleh bertanding kerana muflis

"Suruhanjaya Pilihan Raya mengatakan terdapat rekod yang yang saya muflis.

"Kami membuat semakan pada minggu lepas dan semalam.

"Tidak ada masalah dan saya tidak pernah dipanggil oleh sesiapa atau diisytiharkan muflis.

"Suruhanjaya pilihan raya telah memutuskan, tiada apa yang boleh dilakukan," katanya di luar pusat penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas di sini, Sabtu.

muflis, PPBM, Yaakob Osman, Pizi Jihat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain