suria

“Rasa-rasa nak makan rendang Diva AA, bolehlah undi Azwan Ali”

Azwan Ali.

KUALA LUMPUR: Selebriti popular tanah air, Azwan Ali menyatakan hasrat untuk menghadiahkan rendang ayam dan daging kepada penduduk kawasan Bukit Antarabangsa jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Azwan  atau lebih dikenali sebagai Diva AA berkata, sebanyak 50,000 bekas rendang itu disediakan khas buat penyokong setianya.

“Jika menang, saya akan buat kenduri doa selamat terbesar dengan rakyat kawasan saya.

“Jangan risau, semua akan dapat rasa rendang saya secara percuma kerana saya tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya menjenguk kawasan ketika PRU.

“Rasa-rasa nak makan rendang Diva AA secara percuma, bolehlah mengundi Azwan Ali”, ujarnya kepada mStar Online.

Azwan ditemui ketika proses penamaan calon bagi DUN Bukit Antarabangsa di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang pagi Sabtu.

Azwan menggunakan logo gajah dan bertanding sebagai calon bebas bagi menentang penyandang yang juga merupakan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Diva AA akan bangun seawal pukul 3 pagi untuk memasak sendiri rendang penuh kasih sayang.

“Itulah menariknya jika Azwan Ali bertanding dalam pilihan raya.

“Tak pernah lagi dalam kempen ada beri rendang percuma”, katanya.

Mengulas mengenai strategi berkempen, Azwan berkata dia mempunyai pendekatan tersendiri.

“Saya akan berkempen menggunakan cara saya sendiri iaitu melalui psikologi kemesraan.

“Diva AA tidak akan menggunakan cara lama, sama ada poster atau banner seperti yang dilakukan calon-calon menteri lain yang propa.

“Tidak kisah ada penyokong atau tidak, yang paling penting, saya kuat semangat dan akan terus berkempen cara sendiri," ujarnya.

Nama selebriti Azwan Ali kembali sensasi selepas dia mengumumkan untuk bertanding bagi Dun Bukit Antarabangsa pada PRU-14 pada 24 April lalu, bagi menentang abangnya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Diva AA, Azmin, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain