suria

PRU14: 9 Mei tarikh mengundi

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya terjawab.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat khas pada jam 10 pagi Selasa menetapkan bahawa PRU14 akan diadakan pada 9 Mei (Rabu).

Dalam sidang media khas yang diadakan selepas mesyuarat tersebut, SPR turut mengumumkan tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 28 April (Sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu).

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang turut membincangkan daftar pemilih yang digunakan dalam PRU14 dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya.

"Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.45 malam 8 Mei," katanya semasa mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU14 pada sidang akhbar khas yang turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen TV dan FB live dari ibu pejabat SPR di Putraya, Selasa.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Menurutnya lagi, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan 11 April.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada PRU14.

tarikh PRU14, SPR, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Lain