suria

“Mana Ada Rendang Ayam Rangup” - Pesuruhjaya Tinggi Britain Bidas MasterChef UK

PETALING JAYA: Rendang ayam yang dihidangkan bersama nasi lemak "tidak pernah rangup", kata Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Treadell berkata demikian berhubung sajian itu selepas rakyat Malaysia mengkritik juri program masakan popular MasterChef UK, di media sosial.

Malah beliau turut mempersoalkan sama ada juri-juri terbabit layak untuk mengkritik makanan Asia.

"Ia boleh jadi ayam, kambing atau daging lembu. Ia tidak pernah rangup dan tidak boleh dikelirukan dengan ayam goreng, kadang-kadang dihidangkan dengan nasi lemak," kata Treadell di Twitter pada Selasa.

Treadell juga berkata, rendang merupakan hidangan ikonik kebangsaan Malaysia dan tidak boleh dikelirukan dengan hidangan Indonesia.

Pandangan beliau di Twitter itu turut membuat pautan akaun laman sosial MasterChef UK dan dua juri yang memberi komen berhubung makanan itu, Gregg Wallace dan John Torode.

Treadell berasal dari Malaysia, kelahiran Ipoh, Perak.

Pada Isnin, peserta MasterChef UK, Zaleha Kadir Olpin menyediakan hidangan tradisional nasi lemak dengan rendang ayam, namun hidangan yang sama telah menyebabkan dia tersingkir pada suku akhir pertandingan tersebut.

Wallace dan Torode dikritik kerana membuat komen mengenai nasi lemak yang disediakan Zaleha.

Wallace mengkritik kulit ayam kerana tidak cukup rangup, dengan mengatakan bahawa dia tidak boleh makan ayam disebabkan keadaan itu.

"Kulit ayam tidak rangup, ia tidak boleh dimakan dan semua sos ada pada kulit, saya tidak boleh makan," kata Wallace.

Torode berkata, rendang ayam tidak masa secukupnya dan perlu betul-betul lembut.

Artikel Lain