suria

Arwah Penjinak Ular Bomba Naik Pangkat

Allahyarham Abu Zarin Hussin. Foto Barcroft

KUANTAN: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang juga penjinak ular terkenal atau lebih dikenali sebagai Wira Penyelamat, Allahyarham Abu Zarin Hussin dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Bomba Kanan II, berkuat kuasa pada Isnin.

Pengumuman kenaikan pangkat Abu Zarin dilakukan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Negeri Pahang, di sini.

“Allahyarham diberi kenaikan pangkat berdasarkan sumbangan besar beliau sepanjang berkhidmat dengan jabatan.

“Ilmu mengenai haiwan terutama ular dipelajari allahyarham dengan inisiatif sendiri dan pengalaman yang diperoleh dijadikan rujukan anggota bomba lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini, Isnin.

Turut hadir Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan timbalannya Mohd Sani Harul.

Pada majlis itu, Wan Mohd Nor turut menyampaikan sumbangan khas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebanyak RM10,000 dan Pingat Kebesaran JBPM serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk Allahyarham Abu Zarin kepada isterinya Aziena Farhana Mohd.

Selain itu, beliau juga menyampaikan Anugerah Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun kepada 126 penerima anugerah yang lain.

Abu Zarin telah berkhidmat bersama JBPM selama 10 tahun serta pernah ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah, Pekan dan terakhir di BBP Temerloh sebagai pegawai bomba.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) pada 16 Mac lepas setelah kritikal akibat dipatuk ular tedung ketika menyertai operasi di Bentong beberapa hari sebelum itu.

Abu Zarin Hussin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain