suria

Gambar Batu Caves Tapi Ucap Tahun Baharu Cina, Suarez Ditegur

Luis Suarez. Foto Reuters

PETALING JAYA: Malaysia seharusnya berbangga apabila penyerang sensasi Barcelona, Luis Suarez membantu mempromosikan Malaysia di media sosial.

Terbaru, bintang bola sepak Uruguay itu tampil memberikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang meraikannya dalam satu posting yang dimuat naik, Jumaat.

"Selamat Tahun Baharu Cina semua. Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan kepelbagaiannya,” tulisnya dalam posting gambar di laman Instagramnya.

Namun gambar ‘posting’ tersebut yang memaparkan Suarez memakai baju kurta berlatar belakangkan Batu Caves, sambil mengucapkan 'Vanakkam' yang bermaksud selamat datang menimbulkan kekeliruan dan pertikaian dalam kalangan netizen.

Mereka berpendapat ucapan tersebut tidak sepadan dengan gambar Suarez kerana ia lebih merujuk kepada sambutan Thaipusam yang disambut kaum Hindu.

“Itu bukan Tahun Baharu Cina, itu Thaipusam,” kata _ajim02 di ruangan komen. 

“Sila ‘post’ gambar yang mempunyai kaitan dengan kapsyen anda,” kata seorang netizen, mar.hlmn.

Crispusbrighstone pula berkata: “Itu Tamil! Vanakkam.”

Posting di akaun Instagram Suarez pada Jumaat.

Muazulu pula berkata, gambar Batu Caves tersebut lebih bersesuaian dengan kaum India, namun katanya inisiatif Suarez menunjukkan pemain itu mengingati Tahun Baharu Cina dan memberi ucapan kepada penyokongnya di Malaysia wajar dihargai.

Malah seorang netizen, Zazzry turut memperbetulkan bahawa ketika ini Malaysia sedang menyambut Tahun Baharu Cina: “Tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga kerana anda masih respek negara saya.”  

Bagaimanapun sebahagian lagi netizen tampil menjelaskan bahawa keterangan gambar tersebut turut merujuk kepada pemberitahuan Suarez mengenai keunikan dan kepelbagaian agama, kaum dan budaya di Malaysia.

“Selain daripada meraikan dan menikmati kepelbagaian budaya di Malaysia, saya turut belajar beberapa perkataan asas di Malaysia. Mungkin saya boleh menggunakan perkataan ini ketika saya berkunjung ke Malaysia,” kata Suarez selain ucapan Tahun Baharu Cina di Instagram.

Pemain yang pernah pernah memenangi dua kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara bersama Barcelona, turut menyertakan pautan ke laman web Tourism Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik untuk dilawati di negara ini.

Ia sekali gus merancakkan lagi promosi pelancongan yang dilakukan Suarez berikutan pemain itu mempunyai penyokong dari seluruh dunia, selain 26.4 juta pengikut di Instagram, 19 juta di Facebook dan 13.6 juta di Twitter.

Pada 9 November lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan jalinan kerjasama dengan bekas penyerang Liverpool itu dalam usaha menaikkan populariti Malaysia sebagai destinasi pelancongan di Asia, sekali gus merancakkan industri pelancongan Malaysia.

Artikel Sebelum

Namewee Jawab Video Anjing

Artikel Berikut

Artikel Lain