suria

Hadi Awang Pengkhianat - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad. -fotoTHESTAR

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu menuduh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat berikutan langkah parti itu untuk bertanding sendirian  dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau mendakwa tindakan PAS untuk tidak bersama-sama Pakatan Harapan itu dibuat semata-mata bagi memecahkan undi pembangkang yang secara tidak langsung akan memenangkan atau membantu Barisan Nasional memenangi PRU14.

Bercakap  pada sidang media sempena pelancaran 'Harapan Baru: Policy Talks' di sini, Dr Mahathir  mendakwa PAS tidak mempunyai kekuatan untuk memenangi banyak kerusi jika bertanding sendirian dan Abdul Hadi maklum mengenainya tetapi sengaja berbuat demikian untuk membantu BN.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata PAS mahu meletakkan calonnya bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU14.

Dr Mahathir juga menyifatkan Abdul Hadi sengaja mengkafirkan diri sendiri kerana bekerjasama dengan Umno, satu amalan yang didakwanya bertentangan dengan 'Amanat Haji Hadi' yang menjadi ikutan pengikut PAS sejak dilafazkannya pada 1981.

Dalam  pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata status sama ada mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM Sabtu lepas mengikut perlembagaan parti atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Setakat ini RoS tidak kata apa-apa," katanya mengulas tindakan Ketua Bahagian PBBM Temerloh Amerus Che Onn yang semalam membuat aduan  kepada RoS untuk  menyiasat kesahihan AGM tersebut. -Bernama

Tun M, PRU14, Hadi Awang

Artikel Sebelum

Harga Minyak Naik

Artikel Berikut

Artikel Lain