suria

Penganggur Amuk Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengamuk di Mahkamah Majistret Ampang di sini Jumaat selepas mengetahui dia akan dihantar ke penjara kerana gagal membayar wang jaminan.

ChuahFey Noy @ ChuahCho Che, 42, yang didakwa mencederakan seorang pembantu am masjid, pada mulanya kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin.

Namun sebaik Majistret Haslinda A.Raof memberitahu mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana tertuduh tiada penjamin, lelaki itu terus bertanyakan jurubahasa yang kemudian memaklumkan dia akan dihantar ke penjara Sungai Buloh menyebabkan tertuduh berang dan meninggikan suara.

“Sayatak salah! Kenapa saya kena lokap pula? Kenapa boleh ini macam?,” soalnya dalam bahasa Malaysia sebelum ditenangkan oleh anggota polis dan membawanya keluar dari bilik bicara ke lokap mahkamah.

Terdahulu lelaki itu mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaanterhadap Mohd Noorulhisham Yunus, 55, di Masjid Jamiul Huda, Kampung Melayu Ampang, Ampang Jaya, di sini pada 10 malam, 12 Disember lepas.

Chuah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin, namun Chuah yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan untuk mengurangkan jaminan.

Ketika mahkamah bertanyakan mengenai penjamin, tertuduh hanya menggelengkan kepala menyebabkan Haslinda tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

amuk, penganggur

Artikel Lain