suria

“Ingatkan Takkan Dapat Lagi Dah…”

PETALING JAYA: Media sosial jika digunakan dengan cara yang betul, mampu mendatangkan kesan luar biasa terutamanya dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Siapa sangka, usaha seorang jurutera mekanikal untuk menjejaki seorang warga emas yang dijumpainya semasa mengerjakan umrah dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil hanya melalui sebuah posting di Twitter.

Menurut posting tersebut, Ahmad Hamzi Azhar, 23, meminta warga Twitter untuk retweet gambar yang dimuat naik olehnya kerana ingin mencari warga emas tersebut.

Memandangkan had aksara di Twitter cuma terhad kepada 140, Ahmad Hamzi menceritakan lebih lanjut tentang kisah di sebalik gambar tersebut kepada pengikutnya di Instagram.

Kata lelaki yang berasal dari Machang, Kelantan itu, dia menyimpan sebanyak enam keping gambar warga emas tersebut dan hanya menyedari mengenai perkara itu selepas melihat kembali galeri gambar di komputer ribanya.

Tweet yang dimuat naik oleh Ahmad Hamzi pada awal pagi Ahad.


Ahmad Hamzi sekali lagi menggunakan Twitter untuk memberitahu tentang perkembangan perkara tersebut.

Ahmad Hamzi ketika dihubungi mStar Online berkata, dia mendapat idea untuk menjejaki warga emas tersebut menggunakan Twitter kerana sebaran menerusi laman sosial tersebut lebih pantas dan mudah.

"Tidak sampai 24 jam sahaja cucu saudara pak cik itu menghubungi saya dan saya tidak sangka usaha tersebut akan berhasil.

"Saya pula rasa teruja apabila netizen membantu saya retweet sehingga berjaya mencari keluarga pak cik tersebut," katanya.

Tambah Ahmad Hamzi, dia masih rasa bersalah kerana terlupa untuk mengambil nombor telefon anak warga emas tersebut sebaik tiba di Malaysia dua tahun lalu.

Terdetik di hatinya jika warga emas yang ditemuinya di Madinah itu masih hidup kerana lelaki itu sudah berusia.

"Saya cuba guna cara itu (tweet) kerana kalau tidak dapat jumpa juga, sekurang-kurangnya saya sudah cuba cari dia," jelas Ahmad Hamzi.

Ahmad Hamzi menunaikan umrah pada dua tahun lalu dengan mengikuti rombongan yang dikendalikan oleh pelajar Universiti Tenaga Nasional.

Sementara itu, warga emas tersebut, Saad Budin, 70, turut tidak menyangka bahawa gambar kenangan ketika menunaikan umrah seorang diri dua tahun lalu boleh ditatapnya semula.

"Apabila anak dan cucu memberitahu bahawa ada pemuda mencari saya untuk memberikan gambar tersebut, saya memang tidak percaya.

"Mungkin gambar itu cuma pelanduk dua serupa dan ingatkan memang tidak akan dapat lagi dah gambar itu," katanya kepada mStar Online.

Kata Saad, dia menunaikan ibadah tersebut seorang diri kerana kos menunaikan umrah itu ditaja oleh anak saudaranya.

"Saya memang sudah lama teringin menunaikan umrah, tapi tiada duit. Duit banyak digunakan untuk mengubati isteri yang sakit buah pinggang.

"Saya pula membawa telefon bimbit biasa sahaja, tidak canggih untuk tangkap gambar. Mujurlah ada budak lelaki itu yang sudi rakamkan gambar," katanya yang menganggap kejadian itu seolah-olah 'panggilan' daripada Allah untuk dia kembali ke Tanah Suci.

viral gambar umrah

Artikel Sebelum

Adegan Seks Bertukar Kes Tikam

Artikel Berikut

Penipu, Bukan Pembantu Tian Chua

Artikel Lain