suria

Pisang Goreng Dapur Kayu Mokngoh ‘Rare’

Mokngoh menyediakan pisang goreng di kedainya menggunakan dapur kayu sejak 34 tahun lalu.

HULU TERENGGANU: Biarpun terpaksa 'bertemankan' bahang dan asap, peniaga pisang goreng di Kampung Kuala Pueh, di sini tetap setia menggunakan dapur kayu sejak 34 tahun lalu.

Kesetiaan itulah membuatkan kedai pisang goreng yang digoreng menggunakan dapur kayu diusahakan Mohd Deraman, 72, dan isterinya, Mariam Mamat, 65, menambat hati pelanggan.

Lebih istimewa, pisang goreng enak itu dimasak secara tradisional iaitu menggunakan kayu api yang sukar ditemui pada masa kini.

Mariam yang lebih mesra dipanggil Mokngoh berkata, dia dan suami ingin mengekalkan cara lama kerana rasa pisang goreng dimasak menggunakan dapur kayu lebih sedap.

Katanya, pisang goreng akan lebih beraroma dan rangup berbanding dimasak menggunakan gas, namun masa diambil untuk menggoreng lebih lama.

"Orang lama macam Mokngoh, tentunya lebih selesa dengan cara lama. Lagipun sudah 34 tahun bersama suami jual pisang goreng ni.

"Tak sangka pula, pisang digoreng guna dapur kayu jadi daya tarikan kepada orang ramai kerana cara  masak berbeza, membuatkan pisang goreng itu sendiri rasa lain.

"Dua bulan kebelakangan ini, pengunjung makin bertambah apatah lagi lepas ada orang datang ambil gambar dan letak dalam internet (laman sosial).

"Walaupun dibantu seorang pekerja, tak cukup tangan juga sampai  pelanggan kena tunggu," katanya.

Menurutnya, seguni sehari pisang adakalanya tidak cukup, bekalan pisang seperti nangka serta relung dibeli sekitar Kuala Berang dan melalui peraih.

Kedai yang diusahakan Mokngoh dan suaminya di Kampung Kuala Pueh.

Mokngoh berkata, dia juga ada menjual keropok dan ubi keledek goreng.Katanya, kedainya dibuka sekitar pukul 2.30 petang hingga 6.30 petang.

"Alhamdulillah, hasil jualan pendapatan kasar bolehlah sekitar RM200 sehari. Walaupun 'bermain' dengan bahang api serta asap yang pedihkan mata tapi itu bukan masalah lagipun Mokngoh dah biasa," katanya.

Moyang kepada seorang cicit itu berkata, selain teliti memilih pisang masak yang sesuai untuk digoreng, tempoh menggoreng juga diambil kira bagi memastikan pisang tidak hangus.

Katanya,ramuan secukup rasa juga diberikan perhatian kerana semua itu mempengaruhi keenakkan pisang goreng.

Warga emas itu berkata, dia hanya menggunakan tepung, telur, air kapur, garam dan air bagi menghasilkan bancuhan.

Menurutnya, ada individu yang datang melihat sendiri bahan digunakan dan mempelajari cara-caranya tetapi apabila dicuba di rumah, mereka mengatakan tidak  begitu menjadi atau sesedap seperti dijualnya.

"Mungkin pengalaman berniaga selama ini buatkan Mokngoh mampu buat sukatan yang betul setiap kali sedia bancuhan tepung jadi rasa sedap apabila digoreng.

"Lagipun 'air tangan' orang lama, resepi juga resepi lama. Goreng pula guna cara tradisional iaitu dapur kayu," katanya.

Mokngoh berkata, kayu api digunakan adalah kayu pokok getah yang dibeli RM80 untuk dua 'bundle' atau seberat kira-kira 200 kilogram.

Katanya, stok kayu api dibeli, tahan sehingga sebulan buat masa ini dan pembekalnya tidak jauh dari kampungnya.

Mengimbau kembali nostalgia 34 tahun lalu, Mokngoh berkata, dia dan suami yang lebih dikenali sebagai Pok Mat berniaga pisang goreng sebagai salah satu sumber pendapatan bagi membesarkan tiga anak mereka selain bercucuk-tanam atau bertani.

Katanya, ketika itu mereka hanya bermula dengan sebuah gerai kecil di hadapan rumah.

Menurutnya, walaupun kini anak-anak telah berusia 30 tahun hingga 48 tahun, namun perniagaan pisang goreng telah menjadi sebahagian daripada kehidupan dia dan suaminya.

Malah, Mokngoh nekad untuk terus berniaga selagi kudratnya mengizinkan. - Sinar Online

pisang goreng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain