Suspek Rapat Dengan Keluarga - Semasa | mStar

Suspek Rapat Dengan Keluarga

Tiga beranak warga tempatan ditemui mati dibunuh di sebuah stor di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab pada Rabu. fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan perkakasan di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini Rabu, dikatakan agak rapat dengan keluarga terbabit.

Mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut, Kha Xing Rhuu, 15, berkata suspek sudah empat tahun bekerja dengan bapanya dan rapat dengan keluarganya.

Dia ditemui pemberita sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk menghadiri pengebumian ibu, bapa dan adiknya yang dibunuh dalam kejadian di Bachok tersebut.

Dalam kejadian antara 1.30 tengah hari dan 2 petang Rabu, mangsa yang maut ialah Kha Eng Ni, 42;  isterinya Chua Joo Seok, 43 serta anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Xing Rhuu berkata dia mangsa yang terakhir dicederakan oleh suspek menggunakan penukul sebelum suspek melarikan diri menggunakan van pikap keluarganya.

Katanya dia dipukul di kepala dan bahu namun bernasib baik kerana pukulan itu tidak kena tepat di kepala, menyebabkan dia hanya menerima dua jahitan di kepala selain lebam di bahu.

"Ketika kejadian saya baru pulang dari sekolah bersama adik lelaki saya, Kha Zee Hanz dengan menaiki van.

"Sebaik sampai ke rumah suspek menghalang adik saya untuk masuk ke rumah dan mengarahkan adik mengambil fail di dalam van," katanya.

Katanya ketika itu dia terus masuk ke dalam rumah dan terkejut melihat bapa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Menurutnya ketika itu dia terus menelefon rakan dan sempat melihat adiknya ditarik masuk ke dalam rumah oleh suspek.

"Saya kemudiannya berteriak sambil merayu supaya suspek tidak mengapa-apakan adik saya namun suspek terus menghentak kepala adik saya dengan penukul.

"Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian begitu pantas. Selepas itu suspek datang kepada saya dan turut memukul saya dengan tukul yang sama," katanya.

Menurut gadis itu, kejadian disedari oleh jiran yang kemudian membawanya ke hospital.

"Saya tidak tahu kenapa suspek bertindak sedemikian kerana dia sebelum ini tiada sebarang perbalahan antara kami dan dia dianggap sebagai keluarga sendiri oleh kami semua, " katanya. - BERNAMA

kes bunuh , Wakaf Mek Zainab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lagi Bangkai Gajah Pygmy Borneo Ditemui

Artikel Berkaitan

Dibunuh Angkara Main Cinta

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut