Bapa Kejar Suspek Larikan Anak - Semasa | mStar

Bapa Kejar Suspek Larikan Anak

KULIM: Seorang juruteknik berjaya menyelamatkan anak perempuannya selepas dia meminjam sebuah motosikal daripada penunggang yang berada berdekatan untuk mengejar  suspek sejauh 10 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang di Taman Mutiara, Sungai Kob pada Ahad ketika bapa berkenaan berhenti di kedai perabot bersama keluarganya.

"Selepas keretanya berhenti, juruteknik berusia 29 tahun yang memandu kereta terbabit keluar dan meninggalkan isteri serta dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun di belakang, dengan enjin yang masih belum dipadamkan.

"Tiba-tiba seorang lelaki masuk dan mengunci kereta tersebut. Isteri juruteknik itu lekas keluar dari kereta bersama anak perempuan mereka yang berusia sembilan tahun," kata Ahmad Nasir.

Ahmad Nasir berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan anak perempuan mangsa yang masih berada di dalam kereta.

"Menyedari apa yang berlaku, juruteknik tersebut cepat-cepat meminjam motosikal daripada orang yang ada berdekatannya dan mengejar kereta itu sejauh 10km.

"Kereta itu menghentam bahagian belakang kenderaan lain ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Taman Teknologi Tinggi Kulim," katanya.

Menurutnya, juruteknik tersebut menahan suspek dengan bantuan orang awam dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Artikel Sebelum

Putera Charles Masih Bertenaga

Artikel Berikut

“Dah Boleh Sebut Sepatah”

Artikel Berkaitan

Artikel Lain