suria

Ketua Pemuda Umno Cawangan Maut Ditikam

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Ketua Pemuda Umno Kuala Sawah, Norhaidi Mat Yusop maut dipercayai ditikam oleh adiknya di rumah ibu mereka di Taman Bukit Sejati di sini.

Kedua-dua mereka dikatakan bergaduh di halaman rumah yang menyebabkan Norhaidi, 40, ditikam dengan pisau pada kira-kira pukul 7.30 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, seorang jiran, yang mendengar pergaduhan itu, bergegas untuk menahan suspek berusia 31 tahun itu dan merampas senjata daripadanya.

Hock Poh berkata, Norhaidi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan," tambahnya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban pada Selasa untuk ditahan reman.

Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan bahawa salah seorang jiran, G.Yuvarajah, 21, berkata, dia terjaga dari tidur sejurus terdengar jeritan ibu mangsa yang meminta tolong.

“Saya terus bergegas keluar dan sempat nampak suspek mengejar mangsa sambil memegang penyodok besi. Pada waktu itu jiran ramai yang dah keluar dan terus menangkap suspek.

“Pada waktu itu saya nampak mangsa yang berlumuran darah di bahagian belakang badan terbaring dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lepas Pukul, Kini Dadah Pula...

Artikel Lain