suria

Tiga Beranak Mengaku Salah Dera

TAIPING: Tiga beranak mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua beradik di Selama sejak dua tahun lalu.

Suri rumah Habibah Mat Desa, 44, serta dua anaknya, iaitu anak perempuan berusia 15 tahun dan anak lelaki berusia 16 tahun, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rohaida Ishak.

Ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan penganiayaan sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Nurul Shahdiana Balkis Abdullah, 6, dan Nurul Shah Liana Shakira, 5, di rumah mereka di Jalan Kampung Anak Rambutan, Sungai Bayur, Selama pada 2015 hingga hujung Julai 2017.

Kesemua mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun menawarkan jaminan RM7,000 kepada Habibah, manakala dua anaknya masing-masing diikat jamin RM2,500 seorang.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana tidak mampu sebelum mahkamah kemudian menawarkan RM4,500 kepada Habibah dan masing-masing RM500 kepada dua anaknya.

Mahkamah menetapkan 6 Disember untuk menjatuhkan hukuman dan mendapatkan laporan akhlak bagi dua lagi tertuduh remaja.

Safiyatun berkata dua beradik itu kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan difahamkan mereka diambil sebagai anak angkat keluarga berkenaan sejak Mei 2015. - Bernama

Dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain