suria

Penagih Dadah Pukul Isteri

SUNGAI PETANI: Seorang penagih bertindak ganas memukul isteri dan anak lelakinya berumur tiga tahun selepas merampas beg tangan isterinya di kawasan pasar tani dekat sini untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mahadzir Elias berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an turut menimbulkan kekecohan yang dipercayai akibat ketagihan melampau.

"AADK menerima laporan daripada orang awam pada pukul 9.45 pagi tadi (Khamis) yang memaklumkan bahawa seorang lelaki dipercayai penagih dadah bertindak agresif memukul isteri dan anaknya di khalayak ramai.

"Orang ramai yang berada di situ telah bertindak menahan suspek yang memukul isterinya dan anak lelakinya sebelum menyerahkannya kepada AADK," katanya dalam satu kenyataan.

Mahadzir berkata suspek kemudiannya dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapat isuspek positif dadah jenis marijuana dan methamphetamine, malah pernah ditahan kerana bertindak agresif terhadap keluarganya.

"Kes disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Mahadzir berkata insiden sedemikian sering dilaporkan berlaku dengan kebanyakan penagih bertindak di luar kewarasan fikiran tanpa mengira tempat sehingga boleh menyebabkan kecederaan kepada individu lain.

"Justeru semua lapisan masyarakat digesa menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada AADK dalam usaha melahirkan keluarga bebas dadah," katanya.- Bernama

Penagih Dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain