suria

Remaja, Pelajar Universiti Ditahan AADK

Ops Perdana. Foto kredit: AADK Perlis

KANGAR: Tujuh remaja lelaki berumur 15 hingga 20 tahun, seorang daripadanya pelajar universiti, adalah antara 30 orang penagih dadah yang diberkas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam Ops Perdana selama tiga hari berakhir Khamis.

Pengarahnya, Azizah Ahmad berkata operasi dengan kekuatan 65 orang termasuk bantuan 22 anggota Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Perlis berjaya mengesan peniaga-peniaga kecil atau tokan dadah menjadikan hotel-hotel bajet sebagai ‘pot' mereka untuk mengedar, menjual dan membeli dadah.

“Tokan-tokan dadah ini juga menjual secara dalam talian serta menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat dalam menjalankan aktiviti haram mereka.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin dan sensitif dengan tingkah laku anak-anak mereka kerana tokan-tokan dadah menjual bahan terlarang itu dalam kuantiti mampu milik untuk memerangkap golongan remaja,” katanya dalam satu kenyataan media, Khamis.

Azizah berkata operasi itu yang  dijalankan di beberapa kawasan tumpuan seperti rancangan Felda Mata Air dan Padang Besar turut memberkas dua rakyat Thailand dan dua penagih wanita setelah dibuat saringan air kencing terhadap 32 orang yang disyaki.

Katanya selain pelajar universiti tempatan berumur 20 tahun, turut diberkas adalah 17 orang berumur 21 hingga 40 tahun; dan enam orang berumur 41 hingga 70 tahun, katanya dan menambah, daripada jumlah itu, 28 orang disyaki penagih metamphetamin dan masing-masing seorang penagih ganja serta candu.

Aksem pula merampas 77 bungkus air ketum (cakeroi) dan 12 botol ubat batuk iaitu bahan utama untuk menghasilkan cakeroi, kata Azizah.

Katanya semua yang ditahan itu akan dibawa ke mahkamah pada Jumaat untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.-Bernama

Remaja, Dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain