suria

Tragedi Tahfiz: Suspek Didakwa Esok

Salah seorang dari tujuh suspek yang terlibat dalam kes bakar asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat Ujung dibawa ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut pada Isnin. - Bernama

KUALA LUMPUR: Suspek yang terlibat dalam serangan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat di sini akan didakwa di mahkamah pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kes tersebut sudah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan polis menerima arahan untuk mendakwa mereka.

"Dua daripada suspek akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

"Enam suspek akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) atas Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada Rabu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pada sidang media di Bukit Aman, tidak semua daripada tujuk suspek tersebut akan didakwa.

"Mereka yang tidak terlibat secara langsung akan didakwa atas kesalahan melibatkan dadah dan mungkin akan dipanggil sebagai saksi kejadian," katanya.

Katanya, polis turut menjalankan siasatan bagaimana fakta kes dan maklumat peribadi suspek boleh tersebar kepada orang awam dan dimuat naik ke laman sosial.

Susulan kejadian itu, 13 pegawai polis dipanggil untuk siasatan.

Noor Rashid berkata, terdapat keperluan dalam meningkatkan kefahaman anggota polis mengenai isu kerahsiaan agar perkara sama tidak berulang.

Menurutnya lagi, insiden berkenaan turut memberikan sedikit gangguan kepada proses siasatan.

Pada 16 September, tujuh remaja berumur antara 11 hingga 18 tahun ditahan kerana menyebabkan kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden.

Enam daripada suspek disahkan positif ganja.

tragedi tahfiz

Artikel Sebelum

SPRM Tahan SU Politik Menteri

Artikel Berikut

Artikel Lain