suria

“Saya Impi Bendera Indonesia Di Tengah Penyokong Malaysia”

PETALING JAYA: Seorang pemuda dari Indonesia dengan berani menyatakan hasratnya untuk mengibarkan bendera negaranya di tengah-tengah penyokong bola sepak Malaysia suatu hari nanti.

Pengakuan jujur itu didedahkan oleh Andri Suwarno, 41, yang kisahnya menyamar menjadi penyokong Utras Malaya ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Indonesia, tular di media sosial.

Andri ketika dihubungi mStar Online berkata dia amat berpuas hati setelah melihat sendiri situasi dan sikap penyokong Malaysia di Stadium Shah Alam dan berharap hubungan antara dua negara dapat dikekalkan tanpa dicemari unsur provokasi keterlaluan terutamanya di media sosial.

"Selama ini apa yang saya lihat pertandingan bola sepak terutamanya antara Indonesia dan Malaysia ada banyak konflik, kekecohan, tapi ia tidak berlaku di negara ini, ia boleh dijadikan inspirasi dan pengajaran buat kami.

"Di Malaysia semuanya baik-baik sahaja, saya suka penyokongnya yang tertib, terkawal, paling menarik ada tempat duduk, surau, tempat wuduk. Kalau di Indonesia polisnya ramai, kesannya seperti mahu perang, suasana di sini bagi saya sangat luar biasa dan tiada di Indonesia," katanya.

Andri yang tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat berkata dia terbang ke negara ini dengan beberapa agenda dan salah satunya untuk mencari kebenaran dan melihat sendiri realiti penyokong Malaysia ketika perlawanan berlangsung.

Katanya, dua sahabatnya dari Malaysia telah membantunya mendapatkan tiket untuk duduk bersama dengan penyokong Ultras Malaya.

Tambahnya, sebelum masuk ke stadium dia telah membeli topi dan mafla penyokong skuad bola sepak Malaysia dan membawa bersama bendera Malaysia yang dihadiahkan oleh seorang sahabat di negara ini.

"Tapi kami duduk berjauhan sebab saya banyak berjalan pusing sekeliling, rakam suasana, saya perhatikan sikap penyokong Malaysia, dengar apa yang mereka laungkan sebab niat utama saya memang mahu lihat suasana dan sikap penyokong Malaysia, bagaimana kalau menang, kalah atau dapat gol.

"Masyarakat berbudaya akan bersikap rasional jika menang atau kalah, apa yang saya lihat hari itu sikap rasional lebih mendominasi berbanding tak rasional, kalau ada provokasi atau saling mencaci di Facebook itu hanya ingin mengeruhkan suasana keakraban dua bangsa," katanya.

Menurut Andri dia sama sekali tidak berniat untuk mengkhianati negaranya apabila bertindak sedemikian tetapi percaya apa yang dilakukan akan memberikan kebaikan untuk rakyat kedua-dua negara.

"Kalau ada yang marah itu biasa, hal yang baik mesti ada yang menentang tapi saya tetap yakin sesuatu yang baik, buahnya juga adalah kebaikan," katanya.

Usahawan dari Kota Madiun, Jawa Timur ini berkata sebagai masyarakat serumpun, beragama Islam dan mempunyai banyak persamaan dia amat berharap agar rakyat kedua-dua negara menjaga hubungan baik yang telah terjalin.

Jelasnya, dia hanya berniat untuk menyebarkan kebaikan apabila membuat posting tersebut di Facebook tanpa pernah menyangka ia akan tular di kedua-dua negara.

"Saya mengimpikan kalau ada pertandingan Malaysia-Indonesia lagi, saya ingin berada di tengah-tengah penyokong Malaysia dan minta izin untuk kibarkan bendera merah, putih.

"Ini membuktikan bahawa saya yakin, saya aman, dilindungi ketika bersama mereka kerana mereka adalah orang yang bermartabat, beragama, dan mereka adalah saudara saya," katanya.

Ditanya tentang gelaran 'pahlawan perdamaian' yang diberikan oleh netizen di negara ini, Andri berkata ia agak 'berlebihan' kerana dia tidak berniat untuk mendapatkan pujian atau gelaran apabila memuat naik posting tersebut.

"Ia hanya amal jariah saya dan satu perkara kecil tapi jika ia satu penghargaan dari Malaysia, saya terima," katanya.

Menjelang perlawanan final Malaysia-Thailand, dia meramalkan kemenangan bakal berpihak kepada pasukan negara.

"Jika saya lihat dari segi Malaysia yang sering melibatkan Allah dalam segala keadaan dan semangatnya yang tinggi, Malaysia akan jadi juara," katanya.

Dia yang sudah pulang ke Indonesia pada Isnin berkata, cenderahati KL2017 dan bendera Malaysia yang dibawa ketika menonton perlawanan itu akan disimpan sebagai kenang-kenangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wanita Ditembak Ipar Sendiri

Artikel Lain