suria

AKU 1 Catat Bidaan Tertinggi Lebih RM200,000

Mohd Zawawi Zakaria.

IPOH: Nombor plat kenderaan siri AKU 1 yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak pada Khamis menerima bidaan tertinggi, iaitu bernilai RM207,898.90.

Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria berkata bidaan nombor plat kenderaan siri itu  (AKU 1) yang dikeluarkan sejak 3 Julai dan ditutup 18 Julai lalu mengatasi nombor popular seperti 8055, 1305 dan 805.

Beliau berkata bagi nombor plat kenderaan siri AKU 8055 yang menyerupai perkataan 'AKU BOSS' pula menerima nilai bidaan tertinggi berjumlah RM74,000.

JPJ Perak menerima 3,315 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 239 permohonan ditolak kerana gagal mengikut syarat yang ditetapkan.

"Nomborterlaris siri AKU ialah AKU 1305 iaitu seramai 49 pembida, AKU 8055 (27), AKU 89 (23), AKU 69 (21), AKU 2121 (20), AKU 4212 (19) dan AKU 805 (18) pembida," katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Perak di sini.

Mohd Zawawi berkata jumlah kutipan keseluruhan nilai bidaan nombor plat kenderaan AKU ialah RM3.5 juta dan ia merupakan jumlah bidaan tertinggi yang direkodkan JPJ Perak setakat ini.

"Kebiasaannya permohonan tender nombor plat kenderaan yang direkodkan JPJ Perak adalah antara 500 hingga 600 penyertaan sahaja, tetapi bagi siri AKU permohonan bertambah enam kali ganda," katanya.

Berdasarkan senarai pemilik nombor siri kenderaan pada papan kenyataan JPJ, pembida tertinggi nombor AKU 1 ialah Mohd Shah Rizad Mohammed Rashid manakala AKU 8055 pula milik Ch'ng De Wei. - BERNAMA

AKU 1, JPJ

Artikel Sebelum

Nasib Si Anak Gajah Malang

Artikel Berikut

Artikel Lain