suria

'Datuk' Tipu Ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang terlibat dalam kes penipuan penganugerahan pingat dengan mengaitkan nama kerabat diraja sebuah negeri dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel dekat sini tengah hari Rabu.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, polis menerima maklumat mengenai  majlis penyampaian anugerah pingat yang dianjurkan sebuah persatuan negeri itu pada 9.30 tengah hari sebelum menahan suspek berusia 50-an itu pada 1.30 tengah hari.

"Penipuan tersebut disyaki dilakukan dengan cara mengaitkan nama kerabat diraja  sebuah negeri...iaitu kononnya kerabat diraja ini memberi restu ke atas penganugerahan pingat tersebut. Tapi negeri mana kita tak boleh sebutlah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kedah pada Khamis.

Majlis yang bermula pada 8 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu dihadiri kira-kira 200 tetamu serta melibatkan 95 penerima pingatyang terdiri daripada beberapa orang kenamaan dan pesara kerajaan yang berusia 30 hingga 50-an dari pelbagai negeri.

"Majlis disempurnakan seorang orang kenamaan yang diarahkan hadir untuk  menyampaikan pingat tersebut bagi pihak abangnya…tapi dia pun tidak tahu apa-apa mengenai penipuan pingat ini," katanya.

Asri berkata, mangsa yang diperdaya dan ditipu itu, 'dikurniakan' pingat Ahli  Kehormat Pingat Setia Raja Negara (PSRN) oleh persatuan terbabit dan setiap daripada mereka diminta membayar RM5,000 sebagai bayaran untuk menjadi  anggota dan sekali gus mendapat pingat tersebut.

"Persatuan terbabit memang berdaftar menerusi Jabatan Pendafaran Pertubuhan (ROS), namun sebuah persatuan tidak boleh menganugerahkan pingat yang menyerupai pingat istana kepada orang ramai," katanya.

Polis turut merampas latar belakang majlis penganugerahan pingat bersaiz 20x20,  lima plak cenderahati anggota persatuan, satu piala cenderahati persatuan, 65 selempang dan 66 pingat.

Ditanya mengenai signifikan penganugerahan pingatitu, Asri berkata ia lebih sebagai satu keistimewaan kepada penerima pingat untuk mendapatkan apa-apa projek atau  tender yang dikeluarkan kerajaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (menyamar dengan tujuan menipu) yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Polis sedang dalam proses untuk mendapatkan reman ke atas suspek  dan turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan penganugerahan pingat tersebut agar menghubungi pegawai penyiasat di talian 0135882930.  -Bernama

Datuk, Anugerah Datuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain