suria

Manis Sangat Batu Nisan Ni!

Kek hari jadi berbentuk kubur sebagai hadiah kejutan daripada seorang isteri kepada suami tersayang.

PETALING JAYA: Apa yang akan bermain di fikiran anda jika tiba-tiba menerima hadiah berbentuk 'kubur' sempena ulang tahun kelahiran.

Bagi seorang suami di Baling, Kedah, beliau terkejut gara-gara isterinya menghadiahkan 'kubur' baru-baru ini.

Bagaimanapun 'kubur' berwarna putih yang lengkap dihias  dua batu nisan dan taburan pasir itu sebenarnya adalah rekaan khas kek hari jadi.

Kek 'kubur' itu mempunyai tulisan dengan mesej 'rokok membawa maut, hargailah baki nyawa abang'.

Sebatang 'batu nisan' dijumpai dalam paket rokok.

Mohamad Kamal Ismail berkata, dia sebenarnya dikejutkan dengan dua kek termasuk sebiji kek yang saiznya lebih besar dan direka menyerupai sepaket rokok yang mempunyai amaran bergambar kanser leher akibat merokok.

"Pada mulanya saya terkejut, tapi lepas tu nak tergelak sebab geli hati kerana tak sangka isteri boleh 'plan' hadiahkan kek bentuk kotak rokok sebelah dengan kek kubur.

"Tapi tak terlintas langsung nak marah sebab bila tengok muka isteri dan anak-anak, dalam hati saya rasa rupa-rupanya keluarga sayangkan saya. Mereka takut kehilangan saya akibat merokok," katanya kepada mStar Online.

Kisah kejutan hari ulang tahun Kamal yang ke-32 pada 4 Ogos lalu tular selepas beberapa gambar kek tersebut dimuat naik di laman sosial.

Kamal semasa sambutan hari ulang tahun ke-32.

Kamal yang mengakui seorang perokok berkata, dia menerima sekali lagi kejutan pada keesokan harinya apabila cebisan kek berbentuk sebatang batu nisan dijumpai dalam paket rokok.

"Pagi tu ingat nak hisap rokok. Bila buka ada batu nisan dalam kotak. Bentuk dan warna lebih kurang sama dengan rokok.

"Tapi batu nisan ni dah bersemut sebab manis sangat. Kan tu gula. Tapi kek paket rokok dan kek kubur tu memang sedap, perisa strawberi," katanya secara berseloroh.

Kamal memberitahu, dia menerima segala kejutan itu sebagai teguran dari sudut positif.

"Bagi saya, ia merupakan teguran yang baik daripada seorang isteri. Tak dinafikan rokok itu membahayakan kesihatan. Lebih baik ditegur secara lembut daripada menengking supaya berhenti rokok," ujar bapa kepada dua anak ini.

Kek 'paket rokok' dan 'kubur' membawa mesej tersirat bahawa rokok membahayakan kesihatan.

Sementara itu, isteri Kamal, Nurhidayah Mohamad Isa, 28, pula berkata, walaupun baru beberapa hari kejutan hari jadi dibuat, dia boleh melihat perubahan positif pada suaminya.

"Kalau dulu, sepaket rokok boleh habis dalam sehari, tapi sekarang dah dua hari pun belum habis satu paket.

"Alhamdulillah, suami terima teguran tu dengan mengurangkan pengambilan rokok. Saya faham, susah untuk berhenti merokok secara drastik tetapi suami berusaha ke arah itu," katanya sambil menambah dia dan suami telah berkahwin selama tujuh tahun.

Nurhidayah (kiri) dan Kamal telah berjaya melayari bahtera perkahwinan selama tujuh tahun.

Nurhidayah berkata, walaupun suaminya seorang perokok tetapi masih mempunyai sikap hormat terutama ketika merokok.

"Sejak kami kahwin, suami tak pernah rokok dalam kereta atau dalam rumah kalau ada kami anak beranak. Kalau di luar pun dia cuba rokok jauh dari kami," kata peniaga dalam talian itu.

Nurhidayah berkata, dia menerima banyak komen positif yang menyokong tindakannya itu demi kebaikan suami dan keluarga.

"Tapi ada juga kaum wanita terutama isteri-isteri mengecam saya seolah-olah saya mendoakan suami supaya mati cepat sebab hadiahkan kek kubur.

"Cuba fahamkan maksud tersirat. Kesan merokok itu boleh membawa maut, maka sebab sayang suamilah saya tegur selain mendoakan kesejahteraan dia," katanya.

Baling, Kamal Ismail

Artikel Sebelum

Usah Abai Pengenalan Diri

Artikel Berikut

Artikel Lain