suria

Perintah Berkurung ESSZone Dilanjut Hingga 25 Julai

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir pada Sabtu dilanjutkan hingga 25 Julai ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran dengan semua penduduk di kawasan terlibat harus berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan antara 6  petang hingga 6 pagi.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak  diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang  menjalankan penyelidikan serta pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan,"  katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang  menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina, masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Ramli berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta yang berada di  kawasan daratan ESSZone.

Perintah  berkurung itu juga memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan di sekitar kawasan mereka, katanya.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah terlibat untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak melalui kawasan perintah berkurung," katanya.-Bernama

ESSzone, perintah berkurung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain