suria

Matlamat Tun M Halalkan Cara - Khairy

Khairy dan isterinya Nori bergambar dengan pasukan angkat berat Sukan SEA yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di perkarangan Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Kota pada Sabtu. fotoBERNAMA

REMBAU: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pusingan-U terbaru dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, diibaratkan sebagai matlamat menghalalkan cara dalam memastikan agenda peribadi  bekas perdana menteri itu tercapai, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Khairy berkata matlamat peribadi Dr Mahathir jelas dapat dilihat sehingga mampu mengubah pendiriannya sedangkan di bawah kepimpinan beliau dahululah Anwar telah dipecat dan dipenjarakan dan perkara itu telah menjadi sejarah dan fakta yang tidak boleh diubah.

“Apa-apa fakta yang mendorong beliau pecat Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri termasuk timbalan presiden Umno semua itu tidak akan berubah, yang berubah ialah pendirian beliau.

“Hari ini dia rasa bahawa adalah terbaik untuk dia selamatkan diri daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kebenarkan di sebalik kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1990-an.

“Beliau memerlukan Anwar supaya tidak ada keterangan yang keluar dari Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap Bank Negara yang boleh menuding jari kepada beliau,” katanya kepada pemberita pada majlis 'Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin' di sini, Sabtu. 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Dr Mahathir baru-baru ini yang menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Khairy berkata kaedah yang diamalkan Dr Mahathir itu juga merupakan cara untuk beliau menyelamatkan legasinya dan salah satu cara untuk menjadikan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Dr Mahathir tahu bahawa dapatan RCI boleh membawa kepada pendakwaan jenayah dan beliau tidak boleh membenarkan individu yang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kes itu, misalnya Anwar, untuk memberi keterangan terhadapnya.

Sementara itu di TEMERLOH, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin berkata  Dr Mahathir amat memerlukan Anwar ketika ini bagi mengelak daripada dikenakan tindakan berhubung siasatan perdagangan mata wang asing itu.

Dr Mahathir menyedari Anwar mengetahui banyak perkara berkaitan isu pemerdagangan mata wang itu dan mampu mengakibatkan beliau dikenakan tindakan  termasuk dipenjarakan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran PAS Pusat di Kompleks al-Makmur, Kerdau, di sini. - BERNAMA

Khairy Jamaluddin, Tun Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain