suria

Guru Mengaku Tidak Bersalah Sokong Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang guru kaunseling sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat atas dua pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Razis Awang, 31, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan nama Razis di dalam kumpulan aplikasi telegram ‘gagak hitam' di Lorong Senangin 2/3 , Taman Senangin , Kulim,  Kedah pada 8.11 pagi, 30 Mac 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya yang merupakan item berkaitan dengan kumpulan pengganas di tempat sama pada 7.20 malam, 28 September tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin @ Baharum manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes dan 11 hingga 13 September bagi perbicaraan kes itu. - BERNAMA

Daesh, guru

Artikel Lain