suria

Jejaka Anime Ditawar Jadi Artis K-Pop?

PETALING JAYA: Jejaka anime berusia 21 tahun yang dikecam netizen gara-gara melakukan pembedahan plastik kerana ingin berwajah persis artis K-Pop, mendapat tawaran kontrak daripada agensi bakat yang berpangkalan di Korea Selatan.

Amirul Rizwan Musa atau dikenali sebagai Miyyo Rizone berkongsi berita baik itu dengan pengikutnya di laman Facebook awal pagi Jumaat.

"Thank you kepada haters kerana anda semua telah menaikkan nama saya sebegini rupa," demikian tulis Miyyo pada posting berkenaan.

Usahawan produk kecantikan dari Ketereh, Kelantan itu turut memuat naik paparan skrin e-mel tawaran kontrak daripada syarikat yang beroperasi sebagai label rakaman, pengurusan acara, agensi bakat dan produksi konsert serta penerbitan muzik di laman Facebooknya.

Miyyo ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat mengesahkan dia ditawarkan kontrak tersebut selepas lulus sesi uji bakat menerusi Skype bersama syarikat tersebut pada petang Khamis.

"Ya, tawaran kontrak itu memang benar. Saya amat gembira dan pada masa sama terkejut kerana ditawarkan untuk menjadi artis di negara itu.

"Dalam uji bakat itu saya menyanyikan lagu nyanyian Adele - Million Years. Mereka beritahu kagum dengan nyanyian saya dan menyukai wajah saya," katanya yang enggan mendedahkan nama syarikat tersebut.

Paparan skrin emel tawaran kontrak yang diterima Miyyo.

Bagaimanapun, Miyyo berkata dia masih belum membuat keputusan sama ada bersetuju menerima tawaran kontrak itu atau sebaliknya.

"Saya memang berminat kerana pernah bercita-cita untuk mengembangkan bakat di negara itu. Namun hati saya masih berbelah-bahagi ketika ini.

"Saya kena fikir betul-betul kerana saya bukan sahaja perlu berjauhan dengan keluarga tetapi untuk bergelar artis di Korea Selatan memerlukan disiplin dan komiten yang tinggi," kata Miyyo yang dihubungi syarikat itu selepas berita mengenai dirinya tular di negara tersebut.

Jelas anak bongsu daripada lapan beradik itu, syarikat tersebut menawarkannya untuk menganggotai sebuah kumpulan K-Pop yang akan ditubuhkan pada musim luruh yang akan datang.

"Saya akan dilatih selama enam bulan sebelum menjadi salah seorang anggota kumpulan K-Pop pada musim luruh nanti.

"Tawaran itu memang menarik dan sukar ditolak kerana syarikat tersebut turut menyediakan tempat penginapan, makanan dan elaun bulanan," katanya.

Miyyo berpuas hati dengan wajahnya sekarang.

Ditanya sama ada ibu bapanya sudah mengetahui perkara itu, Miyyo berkata mereka sudah dimaklumkan mengenai tawaran tersebut tetapi memintanya untuk berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan.

"Mereka cakap kena fikir elok-elok sebab kalau nak jadi artis sana memang strict, lagipun perlu berjauhan dengan keluarga. Jadi lagilah susah kalau dah ikat kontrak dengan mereka," katanya.

Sebelum ini mStar Online melaporkan, jejaka itu melakukan pembedahan plastik sebanyak dua kali dengan kos sekitar RM150,000 kerana serik dan dibuli ekoran wajahnya dipenuhi jerawat yang agak teruk.

Katanya, pembedahan itu dilakukan demi meningkatkan keyakinan diri dan memuaskan hatinya yang sering tertekan kerana diejek ekoran wajahnya yang hodoh.

"Ya saya akui dulu saya memang buruk, gelap, hitam dan ada jerawat teruk. Tapi sekarang saya berpuas hati dengan wajah saya terutamanya selepas pembedahan plastik kali kedua," katanya.

Miyyo Rizone, anime

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Yi Mooi, Di Mana Kamu?'

Artikel Lain