suria

Dua Peniaga Online Didakwa Beri Khidmat Kewangan Pengganas

Anggota polis mengiringi Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23 (kiri) dan Mohd Shaiful Mohd Jaafar, 31, (belakang) selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Ahad atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan kewangan untuk manfaat dan pebuatan pengganas pada 2015.

SUNGAI PETANI: Dua peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memberi perkhidmatan kewangan untuk manfaat pengganas.

Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, yang menghadapi tiga pertuduhan dan Mohd Shaiful Mohd Jaafar, 31, didakwa satu pertuduhan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama Muhammad Hassan didakwa memberi perkhidmatan kewangan dengan cara membenarkan kemasukan RM100 ke akaun Maybank miliknya.

Ia dilakukan atas sebab munasabah untuk mempercayai ia akan memanfaatkan pengganas bernama Muhammad Fudhail Omar, 25. Kesalahan itu dilakukan di 955, Jalan Bukit Puteri 11/3A, Bandar Puteri Jaya di sini pada 4.36 petang, 28 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama, membenarkan kemasukan RM200 ke akaun Maybank miliknya untuk memanfaatkan Muhammad Fudhail, di lokasi sama pada 8.19 malam, 1 Mei 2015.

Pertuduhan ketiga, Muhammad Hassan didakwa membenarkan kemasukan RM2,000 ke akaun Maybank miliknya untuk memanfaatkan pengganas bernama Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 38, di lokasi sama Bandar Puteri Jaya, pada 3.03 petang, 29 April 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130O(1)(b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130O(1)(bb) Kanun Keseksaan iaitu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga didenda jika didapati bersalah.

Sementara itu, Mohd Shaiful pula didakwa secara langsung memberikan wang RM890 kepada Muhammad Hassan dengan menggunakan akaun Maybank miliknya atas sebab munasabah untuk mempercayai harta itu akan digunakan untuk melakukan perbuatan pengganas di No 1605, Lorong Teja 34, Taman Keladi di sini pada 9.15 malam, 12 April 2015.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga didenda.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana kes itu tertakluk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya dan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farahin Ibrahim. Muhammad Hassan diwakili Peguam Syafiqah Abdul Razak manakala Mohd Shaiful tidak diwakili peguam.-- Bernama

Hassan Syauqi, Maybank

Artikel Lain