suria

Dua Pencuri Kabel Ditembak Mati

Munusamy (kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim. - Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Dua penjenayah ditembak mati oleh polis awal pagi Ahad, di dua lokasi berasingan di Bandar Baru Sentul kerana cuba menyerang polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, sepasukan anggota polis dan pegawai dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang menjalankan operasi di sebuah tapak projek pembinaan Bandar Baru Sentul, kira-kira jam 3.30 pagi ternampak beberapa orang dengan berpakaian serba gelap dalam keadaan yang mencurigakan.

“Mereka terus berlari dan menaiki dua kereta jenis Proton Waja yang berada di luar kawasan tapak projek pembinaan tersebut.

“Kedua-kedua buah kereta Waja tersebut kemudian telah berpecah di lampu isyarat dekat Masjid Bandar Baru Sentul iaitu sebuah ke arah kanan dan sebuah lagi ke arah kiri,” katanya.

Menurutnya, pasukan polis juga terpaksa berpecah kepada dua kumpulan untuk mengejar dan menahan suspek.

“Salah sebuah kereta yang dinaiki suspek telah melanggar kereta polis, ketika suspek cuba mengundurkan kereta, sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan Pajero yang dinaiki polis.

“Kita terdengar bunyi tembakan dari arah kereta suspek. Kita telah melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Munusamy berkata, pemeriksaan di dalam kereta berkenaan, polis telah menemui sepucuk pistol jenis Norinco buatan China model 213 bersama sebutir peluru hidup.

“Kita turut menemui dua bilah parang berhulu kayu, satu unit pemotong serta dua pasang sarung tangan kain dan satu topeng ski warna hitam,” katanya.

Beliau berkata, sementara itu, polis yang mengejar sebuah lagi kereta yang dipandu suspek telah memecut sejauh kira-kira tujuh kilometer.

“Apabila sampai di bawah jambatan Jalan Segambut, kita cuba menghimpit untuk memberhentikan kereta suspek, namun suspek melanggar kereta yang dinaiki oleh pasukan polis.

“Pada masa yang sama kita turut terdengar bunyi tembakan dari arah kereta suspek, kita turut membalas tembakan demi untuk mempertahankan diri,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta tersebut, polis telah menemui sepucuk Pistol P220 buatan Jerman serta tiga butir peluru dan sebilah parang.

“Kita turut menemui gelungan wayar kabel tembaga dipercayai telah disamun oleh suspek di dalam kedua-dua buah kereta  itu,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 26 tahun itu, polis mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah dikehendaki bersabit kes pecah rumah dan dua rekod lampau jenayah narkotik.

“Manakala seorang lagi suspek pernah ditangkap sebanyak lima kali di atas kesalahan memiliki senjata merbahaya, curi dalam banggunan dan pemerasan,” katanya. - Sinar Harian


Artikel Berikut

Artikel Lain