suria

SPRM: Jurutera JKR Ditahan Salah Guna Kuasa

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya Daerah Kulai selepas disyaki menyalahgunakan kuasa serta kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan  kira-kira 1 tengah hari Isnin ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan SPRM terhadap dirinya di ibu pejabat SPRM di sini.

Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai telah menganugerahkan beberapa projek kerja memotong rumput dan pembersihan di beberapa lokasi di daerah berkenaan kepada abangnya.

Siasatan awal mendapati, keseluruhan projek yang dianugerahkan kepada abangnya itu bernilai hampir RM20,000.Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Johor Bahru pada Selasa untuk pertuduhan.- Bernama

SPRM

Artikel Lain