suria

Kak Girl Bakal Bikin Kejutan Lagi?

Aksi lucu Nur Amira atau Kak Girl bersama suaminya dalam video parodi yang tular di media sosial.

PETALING JAYA: Siri video parodi seorang wanita yang melakukan aksi lip sync sambil menari di dalam kereta yang dipandu suaminya kini tular di media sosial.

Ramai yang terhibur dengan gelagatnya bersahaja dan melucukan, tidak kurang juga turut mendapat kecaman netizen kerana aksi gedik dan dianggap keterlaluan.

Nur Amira Maslan, 30, atau lebih dikenali sebagai Kak Girl berkata, apa yang dilihat netizen di dalam video adalah dirinya yang sebenar.

“Saya memang seorang yang ceria, lucu dan banyak bercakap. Apa yang anda lihat di dalam video ‘viral’ itu semuanya betul, bukan dibuat-buat. 

“Saya tidak kisah dikecam netizen sebab mungkin mereka tak kenal saya. Ada juga yang menyokong dengan memuji walaupun saya berbadan gempal tetapi berani dan yakin menonjolkan bakat,” katanya kepada mStar Online.

Siapa Kak Girl ini sebenarnya? Nur Amira yang merupakan peniaga dalam talian ini pernah menjadi pelakon tambahan dalam sebuah filem komedi ‘Baik Giler’ pada 2012 yang membariskan Zizan Razak, Awie dan Fara Wahida sebagai pelakon utama.

Terbaharu, anak kelahiran Johor Bahru ini menerima tawaran sebagai pelakon pembantu dalam sebuah filem seram ‘Jeritan Jin’ arahan Krishna Roy terbitan Red Fires Film.

Menurut Nur Amira, filem yang bakal ditayangkan seawal-awalnya akhir tahun ini menunjukkan sisi lain dirinya yang selama ini berperwatakan lucu apabila melakonkan watak antagonis.

“Saya memegang watak Rokiah, perempuan bermulut jahat yang cuba menghasut orang kampung supaya menghalau Mak Wok lakonan pelakon Ruminah Sidek sebab membela jin,” katanya.

Ditanya tidakkah sukar memegang watak antagonis, Nur Amira menjelaskan bahawa pengalamannya berlakon teater termasuk aktiviti seni lain seperti tarian sejak kecil sedikit-sebanyak membantunya menghayati sesuatu karakter.

“Pada masa sama, saya cuba untuk membuktikan kepada semua terutama ‘haters’ bahawa saya juga boleh menjadi seorang yang serius, berlakon watak antagonis di dalam filem seram.

“Saya berharap ia menjadi fasa seterusnya dalam menonjolkan bakat yang ada. Jangan ingat orang kelakar tak boleh berlakon jahat. Jadi, kepada 'haters' ini adalah kejutan saya buat anda,” katanya sambil berharap lakonannya itu bakal memberi kesan kepada penonton.

Nur Amira yang meminati lakonan Sheila Rusly dan Allahyarham Azean Irdawaty ini berkata, dia juga mahu mencuba lebih banyak watak yang berbeza sekiranya diberikan peluang.

“Saya teringin nak berlakon watak seorang psiko. Kalau dalam video parodi itu adalah diri saya yang sebenar, kenapa tidak dalam lakonan saya mencuba sesuatu yang lain daripada lain?,” katanya yang turut mengagumi pelakon berbadan gempal Syanie dan Enot. 

Kak Girl

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain