suria

Peneroka Felda Dapat Duit Raya

Najib (dua, kiri) menyerahkan insentif Hari Raya 2017 kepada peneroka Felda yang diwakili Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Samsuddin Othman (dua, kanan) pada Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan di Padang Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Sungai Sayong, Sabtu. Turut menyaksikan Shahrir (kanan) dan Mohamed Khaled (kiri). Foto Bernama

KULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan Insentif Raya sebanyak RM500 kepada setiap keluarga peneroka Felda bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, dividen Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebanyak RM280 juga akan diberikan kepada setiap peneroka Felda.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran insentif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM47.28 juta manakala peruntukan dividen berjumlah RM26.4 juta akan diserahkan kepada 94,555 peneroka.

"Bayaran insentif Hari Raya ini, saya mahu jelaskan, kita akan bayar kepada semua yang berurusan dengan Felda sahaja...yang tidak berurusan, hendak saman Felda, minta maaflah...tidak termasuk," kata beliau ketika berucap pada majlis Sambutan Ihya' Rahmat Ramadan Felda peringkat kebangsaan di Felda Sungai Sayong di sini, Sabtu.

Perdana menteri turut mengumumkan pemberian sagu hati sebanyak RM400 kepada pengerusi masjid, RM500 (imam), RM300 (bilal) dan RM200 (siak) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM674,400 manakala bagi surau utama pula, imam akan menerima sagu hati sebanyak RM500 dan bilal sebanyak RM300.

Najib berkata, kerajaan juga akan memberikan insentif khas di antara 10 hingga 30 peratus daripada gaji pokok kepada 3,625 kakitangan Felda bulan ini, sebagai menghargai jasa mereka berkhidmat dengan agensi persekutuan itu.

Selain itu, insentif tambahan sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok turut diberikan kepada petugas di barisan hadapan iaitu kakitangan rancangan.

"Jadi, bermakna dia dapat dua (bonus dan insentif)," kata beliau.

Perdana menteri juga mengumumkan empat rancangan Felda dalam Parlimen Tenggara iaitu Felda Bukit Ramon akan menerima peruntukan RM1.35 juta, Pasir Raja (RM700,00), Sungai Sayong (RM2.2 juta), Bukit Besar (RM2.2 juta) untuk pembinaan jalan sepanjang 13.7 kilometer.

Dalam pada itu, Najib menyatakan persetujuannya supaya jalan-jalan raya perkampungan Felda di Johor diselenggarakan mengikut Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Persetujuan itu dibuat atas permohonan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi membantu penyelenggaraan jalan-jalan raya bagi kawasan berkenaan berikutan penyerahan hak milik tanah-tanah berkenaan kepada peneroka-peneroka Felda.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata pada masa ini, tidak ada perbezaan di antara perkampungan Felda yang telah mendapat hak milik dan perkampungan-perkampungan lain di Johor.

"Maka, adalah wajar jalan-jalan di kampung-kampung Felda yang berhak milik ini diiktiraf statusnya sama seperti kampung-kampung lain yang diselenggara di bawah Marris," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ,Datuk Halimah Sadique dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim. - Bernama

Felda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain