suria

Pelajar Ditegur Ponteng 'Bawa Geng' Belasah Peniaga

PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki berkelakuan tak ubah seperti 'samseng' apabila membelasah seorang peniaga hingga tidak sedarkan diri hanya kerana menegurnya ponteng sekolah.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku di sebuah pusat beli-belah di Gombak pada Rabu, pelajar yang 'bengang' dengan peniaga berkenaan telah memanggil beberapa rakannya dari Taman Melati, Gombak untuk membelasah peniaga tersebut sehingga koma.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, pelajar terbabit yang memakai pakaian sukan dikatakan telah ditegur oleh mangsa kerana ponteng sekolah sebelum dia dibelasah.

Turut menjadi tular adalah gambar pelajar terbabit dan dua lagi remaja dalam keadaan bergari bersama dua anggota polis.

Gambar keadaan peniaga yang terbaring di kedainya turut tersebar.

Perkongsian gambar tersebut mendapat kritikan netizen, dengan ramai yang meluahkan kebimbangan dengan trend samseng dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin menjadi-jadi pada masa ini.

Dalam perkembangan sama, The Star pada Khamis melaporkan bahawa dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Gombak.

Qalyubi Miqdam Che Sohor, 23 dan Muhamad Farahan Nabil Khishamuddin, 20 didakwa telah memukul peniaga Mohd Harif Aziemi dengan kerusi.

Difahamkan, Mohd Harif telah membantu dalam operasi anti-ponteng sekolah di pusat beli-belah tersebut di mana beliau berjaya menangkap seorang pelajar, yang kemudian melarikan diri.

Kecewa dengan tindakan beliau, kedua-dua lelaki terbabit menyerang Mohd Harif menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Salah seorang daripada lelaki tersebut dipercayai saudara kepada pelajar yang ponteng.

Suspek ditahan kemudian sebelum mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 18 Mei.


ponteng sekolah, samseng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain