suria

Muktamar Agung PAS: Keputusan Tak Akan Diumum Awal, Perwakilan Bakal Tentukan Nasib Iskandar Samad

Muktamar PAS tahun ini diadakan di Alor Setar, Kedah, bermula dari 26 April hingga 1 Mei. -fotoTHESTAR/G.C Tan

PEMILIHAN pucuk pimpinan Parti Islam Se-Malaysia atau PAS Sabtu ini walaupun akan mencatat sejarah buat pertama kalinya dilakukan menerusi sistem undian elektronik tetapi yang ironinya ialah keputusan tidak akan diketahui pada hari yang sama.

Ia hanya akan diumum pada hari Isnin, 1 Mei.

Mengapakah demikian? Bukankah salah satu objektif penggunaan sistem elektronik adalah untuk memudahkan proses pengiraan undi dan mempercepatkan proses pengumuman keputusan pemilihan?

Ramai yang tidak sedar akan keputusan untuk menangguh pengumuman keputusan pemilihan ini tetapi menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, ia adalah untuk menjaga hati dan emosi mereka yang bertanding kerana Muktamar masih berlangsung.

Urusan menjaga hati dan emosi mereka yang bertanding bukanlah perkara baru dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS.

Suatu ketika dahulu, hanya nama calon yang menang sahaja diumumkan kepada perwakilan dan juga pihak media. Mereka yang tewas tidak diketahui berapakah jumlah undi yang diperolehi. Ia kekal rahsia dan hanya diketahui oleh Jawatankuasa Pemilihan dan juga calon itu sendiri.

Untuk pemilihan kali ini, jawatan presiden dan timbalan presiden telah dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Kedua-duanya adalah penyandang jawatan.

Tiga jawatan naib presiden bagaimanapun akan menyaksikan pertandingan empat penjuru. Tiga penyandang jawatan tersebut, Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad masing-masing akan mempertahankan jawatan mereka. Mereka akan dicabar oleh seorang muka baru iaitu bekas Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi yang juga merupakan ahli Parlimen Temerloh.

Seramai 1,231 perwakilan bakal menentukan nasib empat calon ini.

Mengiringi mereka ialah 26 lagi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat yang akan turut dipertandingkan.

Nasrudin mengambil risiko dengan menawarkan diri hanya untuk kerusi naib presiden dan menolak pencalonan untuk kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat. Tetapi pada masa yang sama ini juga boleh ditafsir sebagai menghantar isyarat yang jelas kepada perwakilan yang beliau hanya mahu dipertimbangkan sebagai calon naib presiden yang serius, bukan sekadar mencuba nasib.

Sebenarnya, Iskandar yang dilihat sebagai berhadapan dengan cabaran yang besar kerana kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor yang kini berhadapan dengan dilema kerjasama politik dengan PKR dan juga DAP.

PAS membuat keputusan politik memutuskan hubungan dengan DAP tetapi dari segi pentadbiran, mereka adalah rakan kongsi bersama DAP dan PKR mentadbir Negeri Selangor. Situasi ini sangat pelik dan janggal dan Muktamar Agung PAS kali ini yang berlangsung di Kedah bakal membuat keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain termasuklah di Negeri Selangor yang mana mereka membentuk kerajaan bersama-sama DAP dan PKR.

Sedangkan Iskandar berada di dalam situasi sebelah kaki di dalam PAS yang rata-rata menentang kerjasama ini dan sebelah kaki lagi masih duduk semeja dengan DAP di dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Muktamar juga dijangka bakal membuat keputusan sama ada PAS akan menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti sebagai blok ketiga atau bersama Pakatan Harapan yang kini dianggotai oleh DAP-PKR-Amanah-PPBM.

PAS tidak boleh duduk semeja dengan DAP dan tidak boleh pandang walaupun sebelah mata dengan Amanah yang dianggap sebagai pengkhianat. Dengan PPBM hubungan mereka suam-suam kuku dan hanya dengan PKR sahaja yang pintu masih terbuka luas untuk mereka bekerjasama.

Jadi kebarangkalian yang bakal berlaku ialah PAS mungkin tidak letak calon di mana PKR bakal bertanding sebagai menghormati dan menjaga air muka PKR tetapi akan tetap lawan di mana DAP, Amanah atau PPBM bertanding.

Contoh yang paling klasik dan memeningkan kepala ialah kerusi Parlimen Shah Alam. Sudah tiga penggal berturut-turut PAS menang di parlimen tersebut. Bagaimanapun wakil rakyatnya kini, Abdul Khalid Samad bukan lagi ahli PAS tetapi Amanah.

Logik akal mengatakan sudah tentu Khalid akan mempertahankan kerusi tersebut selaku penyandang. Logik akal juga menunjukkan sudah tentu PAS tidak akan menyerah begitu sahaja kerusi yang pernah menjadi milik mereka.

Jadi siapa yang akan bertanding? PAS? Amanah? Bagaimana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali selaku pengarah pilihan raya Selangor hendak mengatasi kemelut ini? Mampukah Iskandar Samad selaku Pesuruhjaya PAS Negeri bertegas di hadapan Azmin yang Shah Alam adalah milik PAS bukan Amanah.

Wow! Jawapannya bukan mudah. Nasib PAS di Shah Alam atau Selangor belum tahu lagi tetapi nasib Iskandar Samad akan terlebih dahulu diketahui Isnin ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain