suria

Pengasas JJPTR Dapatkan Bantuan Pakar IT

GEORGE TOWN: Pengendali skim pelaburan kontroversi, JJPTR telah mendapatkan bantuan profesional berhubung dakwaan 'penggodaman' sehingga mengakibatkan syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu kerugian RM500 juta.

Pengasasnya Johnson Lee dalam satu posting video di laman Facebook JJPTR Malaysia, berkata beliau akan mendapatkan bantuan pakar IT untuk menyiasat perkara itu.

Posting terkini itu yang dimuat naik pada Rabu menyaksikan Lee berkata bahawa dirinya masih berada di Malaysia.

"Saya ingin beritahu semua orang bahawa saya masih berada di Malaysia. Saya tak melarikan diri.

"Paling penting, saya mahu beritahu semua orang bahawa kami akan masih menggunakan nama dan logo JJPTR," kata Lee dalam bahasa Mandarin.

Beliau turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa mereka tidak akan mengalami kerugian dalam skim ini.

"Saya pasti akan memulangkan wang kepada anda semua. Anda semua tidak perlu bimbang. Saya menghargai semua sokongan," katanya.

Syarikat itu menjadi perhatian umum baru-baru ini selepas ia mendakwa akaunnya telah digodam, mengakibatkan potensi kerugian berjumlah RM500 juta.

Lee, pada Selasa, cuba memperbaiki keadaan dengan mendakwa bahawa beliau akan muncul dengan satu pelan baharu yang 'sangat baik' dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Beliau berkata syarikat itu sedang merangka satu skim baharu yang diharapkan dapat diperkenalkan selewat-lewatnya 1 Mei.

The Star melaporkan bahawa puluhan ribu pelabur dari seluruh dunia, termasuk Kanada, Amerika Syarikat dan China, akan mengalami kerugian RM500 juta susulan laporan kejatuhan JJPTR.

Sejak minggu yang lalu, terdapat cakap-cakap mengenai kerja penggodaman dalam talian dan kerugian RM500 juta syarikat ini, tetapi dalam rakaman, Lee meletakkan angka kerugian AS$400 juta(RM1.75 juta).

Rakaman video selama 14 minit itu, dipercayai Lee yang mengadakan mesyuarat dengan ejen-ejennya pada malam Selasa, telah tersebar secara meluas di aplikasi mesej.

Sebuah akhbar Cina juga melaporkan bahawa Lee akan mengadakan sidang akhbar pada masa terdekat.

Sementara itu, pemeriksaan di pejabat JJPTR di Jalan Perak di sini menunjukkan perniagaan berjalan seperti biasa, di mana segelintir ahli dapat dilihat membuat pertanyaan ke atas skim ini.

JJPTR, skim pelaburan, Johnson Lee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain