suria

Kedudukan Annuar Musa Diketahui Selepas Tamat Siasatan Audit

PETALING JAYA: Kedudukan Tan Sri Annuar Musa dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) hanya akan diputuskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik selesai siasatan audit dalaman isu tajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Jelas Annuar, buat masa ini beliau masih dalam tempoh direhatkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Mara.

"Surat maklumkan saya direhatkan dari tugas rasmi sehingga diberitahu nanti," katanya kepada pemberita selepas hadir memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara di Ibu Pejabat Mara di sini, Selasa.

Dalam sesi soal jawab selama sejam itu, Annuar berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan  Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin bersama empat yang lain tidak menyentuh soal kedudukannya di dalam Mara.

"Tak sentuh (soal kedudukan), mereka minta penjelasan daripada saya," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Mara memanggil untuk memberi keterangan, Annuar berkata, beliau tidak terasa hati sebaliknya menghormati tanggungjawab jawatankuasa tersebut.

"Mereka melakukan apa yang sepatutnya. Saya harap siasatan ini selesai. Terpulang kepada pihak pengurusan untuk tentukan tindakan seterusnya," kata Annuar.

Sebelum itu, Annuar hadir di bangunan Mara pukul 10.29 pagi untuk memberi keterangan berhubung isu tajaan Mara kepada pasukan bola sepak Kelantan.

Pada 31 Januari lepas, Mara menggantung tugas Annuar sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar sebelum ini menafikan terbabit dalam sebarang salah guna kuasa berhubung keputusan PMB dan UniKL menaja pasukan TRW.

Mara, Annuar Musa, TRW

Artikel Lain