suria

Sembah Ucapan Najib Manifestasi Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada

KUALA LUMPUR: Sembah ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Yang di-Pertuan Agong menggambarkan manifestasi bahawa raja dan rakyat berpisah tiada, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, dengan keberadaan Yang di-Pertuan Agong di takhta selaku payung negara, rakyat harus bersatu di bawah naungan baginda.

"Tentunya apabila diterjemahkannya, Tuanku adalah payung negara dan keberadaan baginda dalam pemerintahan Raja Berpelembagaan menunjukkan bahawa rakyat harus mendokong dan bersatu di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku," katanya.

Beliau mengulas ucapan tahniah dan taat setia yang disembahkan Najib bagi mewakili kerajaan dan rakyat sempena istiadat pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Isnin.

Dalam sembah ucapan itu, Najib menyifatkan institusi raja dan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah pancaran kepada ''Pemeribadian atau Jatidiri Negara''.

Najib turut mempersembahan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Sultan Muhammad V sempena pertabalan baginda.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata istiadat pertabalan berjalan lancar dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakannnya.

"Saya bersyukur. Ini adalah detik bersejarah yang mana kerjasama yang diberikan semua pihak termasuk Istana Negara, Pejabat Perdana Menteri dan semua agensi terlibat dalam menjayakan istiadat amat dihargai," katanya.

Agong, Pertabalan, Rakyat

Artikel Lain