suria

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Bermula

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi tabik hormat ketika memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara, Isnin. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V secara rasminya akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu yang akan berlangsung di Istana Negara, Isnin.

Upacara pertabalan itu akan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 9.30 pagi bagi membolehkan seluruh rakyat bersama-sama menyaksikan istiadat pertabalan ketua negara baharu yang bakal memegang tampuk pemerintahan bagi tempoh lima tahun bermula 13 Disember lepas.

Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lepas yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 13 Disember lepas, Seri Paduka telah menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara.

Sultan Muhammad V menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada 12 Disember lepas.

Upacara bermula dengan istiadat penuh ketenteraan yang berlangsung di Dataran Istana Negara membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai lambang taat setia pasukan pertahanan negara itu kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Acara bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Anjung Tamu, Istana Negara sebelum diiringi ke Peterana Diraja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta isteri Datin Seri Raya Erom.

Sultan Muhammad V berangkat tiba di perkarangan Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XV dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu, Isnin. -fotoBERNAMA

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Seri Paduka diberi Hormat Diraja oleh Barisan Kawalan Kehormat Utama oleh seramai 108 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Serentak itu lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan istiadat Pecah Bendera dijalankan yang menyaksikan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Seri Paduka kemudiannya berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Riduan Mohd Basheer, dalam perbarisan itu yang diadakan di Dataran Istana Negara.

Selesai pemeriksaan kawalan kehormat, Seri Paduka yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ''Muskat'' sekali lagi menerima persembahan Hormat Diraja dan lagu Negaraku dimainkan.

Baginda kemudiannya diiringi dif-dif kehormat berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Seri Maharaja bagi meneruskan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Balairung Seri, Istana Negara. -Bernama

Artikel Sebelum

Tun M Sedia Disiasat

Artikel Lain