suria

Warga Emas Maut Kereta Dihempap Pokok

IPOH: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dinaikinya dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika melalui Jalan Sultan Nazrin Shah, berhadapan sebuah hotel di sini, Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa Ng Peng Tee, 65, yang duduk di tempat duduk penumpang maut di tempat kejadian.

Katanya suami mangsa yang merupakan pemandu kereta Loi Chok Kai, 66, cedera di bahagian kepala, manakala anak perempuan pasangan itu, Loi Phooi Yin, 32, cedera pada bahagian muka dan tangan kiri.

"Suami dan anak mangsa kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat berserta angin kencang di sekitar Ipoh yang bermula kira-kira pukul 3 petang.

Sementara itu, seorang saksi kejadian Bob Wee, 70, berkata ketika kejadian beliau berada di dalam pejabatnya yang terletak berhampiran dengan lokasi.

"Saya terdengar bunyi yang sangat kuat apabila saya melihat dari tingkap saya lihat batang pokok itu telah menghempap kereta mangsa.

Kemudian saya lihat ada penunggang motosikal dan beberapa pekerja hotel cuba menyelamatkan mereka yang berada di dalam kereta," katanya.


hempap pokok, Sum Chang Keong

Artikel Lain