suria

Adam Rosly Berdepan Tindakan Disiplin Jika Bersalah - Nurul Izzah

Nurul Izzah Anwar

KUALA TERENGGANU: Ketua Angkatan Muda Keadilan Ampang Datuk Adam Rosly mungkin berdepan tindakan disiplin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika beliau terbukti bersalah bagi enam pertuduhan berkaitan rasuah.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pimpinan parti itu tidak akan berkompromi dengan isu yang membabitkan kes rasuah kerana agenda parti adalah berpegang teguh kepada integriti, telus dan akauntabiliti.

"Jawatankuasa Disiplin PKR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota parti yang didapati bersalah melanggar undang-undang terutamanya kes rasuah.

"Sudah tentu, kita mahu sesiapa sahaja yang didakwa diberi layanan saksama namun, jika didapati bersalah parti akan menjunjung (keputusan mahkamah) kerana agenda integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah utama bagi parti.

"Sesiapa sahaja yang didapati bersalah melanggar undang-undang Malaysia termasuk yang membabitkan kes rasuah sudah tentu akan diadili oleh jawatankuasa disiplin parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Keadilan Terengganu 2017 di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Adam, yang juga ahli perniagaan, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dua hari lepas bagi enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian banglo mewah di Ampang.

Mengulas kedudukan Adam sebagai sebagai Ketua Pemuda AMK Ampang, Nurul Izzah berkata perkara itu sudah dibincangkan di peringkat AMK tetapi ia akan dibincang dengan lebih lanjut di peringkat pusat tidak lama lagi. -Bernama

Adam Rosly, Nurul Izzah, kes rasuah

Artikel Lain