suria

Guan Eng Perlu 'Belajar Sedikit Asas Makroekonomi' - Rahman Dahlan

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana cuba melemahkan ekonomi Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi dalam satu posting di Facebook pada Sabtu berkata Guan Eng dan rakan-rakan pemimpin pembangkang perlu 'belajar sedikit asas makroekonomi'.

Beliau berkata demikian sebagai tindak balas kepada dakwaan ahli parlimen DAP itu sebelum ini bahawa kadar inflasi Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak 5.1 peratus pada Mac disebabkan oleh kerajaan autokratik dan rasuah yang tiada akauntabiliti dan ketelusan di dalam pengurusan kewangan.

Abdul Rahman menjelaskan bahawa kadar inflasi yang tinggi pada Mac 2017 adalah disebabkan kesan asas yang rendah seperti mana dijelaskan oleh Jabatan Perangkaan Negara.

"Kadar inflasi pengangkutan pada Mac 2016 jatuh sejumlah -8.2 peratus apabila harga RON95 menjunam sehingga kepada harga RM1.60 setiap liter. Pada Mac 2017 harga RON95 meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM2.29 setiap liter.

"Ini adalah sebab utama kenapa kadar inflasi meningkat sejumlah 5.1 peratus," katanya.

Mengenai kenyataan kedua Guan Eng bahawa inflasi adalah tinggi pada tahun 1998 dan 2008 semasa Malaysia menghadapi Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, Abdul Rahman berkata inflasi 1998 melonjak tinggi kerana penyusutan Ringgit yang mendadak yang meningkatkan kos barangan import meningkat seperti makanan.

"Kerajaan pada masa itu terpaksa meningkatkan harga siling bagi minyak masak, ayam, tepung, gula, dan susu sebanyak lima peratus hingga 20 peratus untuk mengurangkan kesan ke atas kenaikan kos import barangan tersebut.

"Pada tahun 2008 kerajaan tidak menghadapi kegawatan ekonomi. Ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar 4.8 peratus pada tahun 2008. Kadar inflasi tinggi pada tahun tersebut kerana kenaikan mendadak harga minyak mentah antarabangsa sehingga mencecah AS$140 setong yang kemudiannya menyebabkan harga runcit petrol dan diesel dinaikkan oleh kerajaan," katanya.

Mengulas dakwaan Guan Eng bahawa inflasi memberi kesan lebih banyak kepada mereka yang berpendapatan rendah berbanding yang berpendapatan tinggi Abdul Rahman berkata, kadar inflasi bagi kumpulan yang berpendapatan di bawah RM3,000 adalah 4.7 peratus pada Mac 2017 berbanding kadar inflasi nasional 5.1 peratus.

"Ini adalah kerana mereka yang di dalam kumpulan berpendapatan rendah membelanjakan lebih banyak wang mereka untuk barangan asas yang kebanyakannya dikawal oleh kerajaan.

"Kumpulan ini juga menerima bantuan kerajaan dalam bentuk pindahan tunai seperti BR1M untuk menampung kenaikan atau perbezaan harga barangan," katanya.

Beliau kemudian menegaskan bahawa perangka dasar seperti Bank Negara Malaysia memantau kadar inflasi teras yang stabil pada kadar 2.5 peratus.

"Lim Guan Eng dan pemimpin pembangkang yang lain sepatutnya belajar serba sedikit tentang asas makroekonomi sebelum membuat tuduhan tidak berasas tentang ekonomi Malaysia berasaskan kadar inflasi utama yang tinggi.

"Malaysia menerima RM59 bilion pelaburan asing pada tahun 2016, iaitu kenaikan sejumlah RM23 bilion berbanding RM36 bilion pelaburan asing yang diterima pada tahun 2015. Ini menunjukkan bahawa tiada krisis keyakinan ekonomi seperti yang didakwanya," katanya.

Katanya pembangkang mesti menghentikan usaha menjatuhkan ekonomi Malaysia dengan menyebarkan berita palsu dan membuat tuduhan tidak berasas tentang kerajaan dan ekonomi negara.

"Sekiranya pelabur asing dan pemain industri di Malaysia percaya dengan pembangkang, nescaya suatu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan bahawa ekonomi Malaysia akan terjerumus ke dalam kegawatan," katanya.

Artikel Lain