suria

Kuota Haji Bertambah, Tempoh Menunggu Dipendekkan

KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu giliran menunaikan haji disingkatkan daripada 102 tahun kepada 89 tahun berikutan penambahan kuota haji rakyat negara ini kepada 30,200 berbanding 27,900 orang seperti yang dipersetujui Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengurangan tempoh menunggu sehingga 13 tahun itu sekali gus menggembirakan kira-kira 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang mendaftar untuk menunaikan haji.

"Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini membawa berita gembira kepada jemaah haji yang terpaksa menunggu lama untuk menunaikan ibadat haji.

"Dengan penambahan kuota haji, tempoh menunggu dikurangkan 13 tahun dan kita bersyukur dengan perkembangan ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Januari lalu, kuota haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Terdahulu menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAN-Kuala Krai), Jamil Khir menyifatkan kadar hibah Tabung Haji bagi tahun kewangan 2016 yang diumumkan bulan lalu sebanyak 4.25 peratus kepada 9.1 juta pendepositnya adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi perbankan Islam lain.

"Simpanan di Tabung Haji dijamin oleh kerajaan dan pemberian hibah sudah mengambil kira 2.5 peratus bayaran zakat tahun 2016 iaitu sebanyak RM60.3 juta.

"Prestasi Tabung Haji kekal positif walaupun berdepan persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu bagi tahun 2016 dan dijangka berterusan tahun ini," ujarnya.

Jamil Khir Baharom, Kuota Haji

Artikel Lain