suria

Tiga Lagi Tebusan Malaysia Diselamatkan

GAMBAR fail menunjukkan antara lima rakyat Malaysia yang dijadikan tebusan oleh militan Abu Sayyaf.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu, pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina, tengah malam Ahad.

Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu, kata Komander Esscom Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid.

"Itu saja yang boleh saya sahkan setakat ini, mereka telah diselamatkan," katanya kepada Bernama namun enggan mengulas lanjut.

Bernama difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.

Khamis lepas, dua rakan mereka yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abd Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Tayudin dan Abd Rahim Summas kini berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu.

Abu Sayyaf

Artikel Lain