suria

Wajar Wujudkan Kelas Pendidikan Khas Di Semua Sekolah - Hamisa

TAWAU: Kementerian Pendidikan diminta mewujudkan kelas pendidikan khas di semua sekolah rendah dan menengah bagi memudahkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa menghantar mereka untuk belajar.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata ia bagi memastikan anak istimewa tidak terpinggir dan turut mendapat pembelajaran berterusan dan lancar.

"Seiring dengan pendidikan untuk semua yang diwajibkan kerajaan, kanak-kanak istimewa juga tidak terkecuali dan mereka perlu diberi perhatian serta mendapat hak sewajarnya dalam sistem pendidikan di negara ini," katanya menurut laporan Bernama.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu berkata demikian ketika berucap pada program Hari Down Syndrome Daerah Tawau di Dewan Sekolah Kebangsaan Tanjong Batu, di sini pada Ahad.

Menurutnya, kanak-kanak istimewa tidak boleh disisihkan malah memerlukan layanan pendidikan sempurna demi menjamin masa depan yang sama seperti kanak-kanak normal yang lain.

"Ramai daripada kita sering terlepas pandang atau mungkin tidak menyedari satu peratus penduduk negara adalah kanak-kanak istimewa dan mereka memerlukan perhatian khusus atau pendidikan khas dalam pembelajaran.

"Ibu bapa juga perlu memberi kepercayaan kepada anak-anak ini untuk mendapatkan pendidikan bagi membolehkan mereka berdikari pada masa akan datang," katanya.

Hamisa berkata sikap tidak peka atau sambil lewa terhadap masalah pembelajaran kanak-kanak istimewa akan menyebabkan golongan berkenaan tercicir daripada menerima pendidikan.

Sementara itu, beliau berkata bidang pendidikan khas perlu diperluaskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan cenderung mendalami bidang berkenaan.

Katanya, latihan dan kemahiran perlu diberikan kepada individu yang benar-benar ikhlas dan berminat untuk mendidik kanak-kanak istimewa

"Malah bagi memastikan anak istimewa mendapat pembelajaran berterusan di rumah, sekolah mungkin boleh memberi kebenaran membawa pulang atau meminjam alat bantu pembelajaran kepada ibu bapa," katanya.

Hamisa Samat

Artikel Lain