suria

Bantuan Minyak Motosikal Bukan Tajaan Kementerian - Tengku Adnan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR: Dana program minyak percuma untuk penunggang motosikal di dalam kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan ditanggung sepenuhnya badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan dana kerajaan.


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program tersebut adalah inisiatif NGO dalam mengurangkan beban hidup rakyat dan tidak berkaitan dengan kementeriannya.

"Program itu bukan ditaja oleh kementerian, tidak ada kena mengena dengan duit kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Wilayah International Motofest 2017 di sini, Jumaat.

Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan pada Khamis dilaporkan akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya setiap awal bulan bermula April ini.


Perkara itu menerima reaksi negatif dan dikatakan bercanggah dengan  cadangan Tengku Adnan sebelum ini yang dilapor mencadangkan pengharaman motosikal berkuasa rendah atau kapcai daripada pusat bandar Kuala Lumpur.

Tengku Adnan berkata kementeriannya bagaimanapun sentiasa merangka pelbagai inisiatif lain dalam mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat.


"Seperti tahun ini kita lancarkan program bantuan bas sekolah buat anak-anak PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan kita juga sedang kaji untuk beri bantuan bas perantara dari PPR ke Stesen LRT (Sistem Transit Aliran Ringan)," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain