suria

Lima Tan Abu Al-Quran Dilupus Di Perairan Pulau Kendi

Majlis Agama Islam Pulau Pinang melupuskan lima tan abu Al-Quran ke dalam laut berhampiran Pulau Kendi, Khamis.

GEORGE TOWN: Sebanyak lima tan abu daripada al-Quran yang dibakar, dilupuskan di perairan Pulau Kendi kira-kira 12 batu nautika dari Batu Uban di sini, Khamis.

Abu itu dibawa dari jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban menggunakan bot milik pasukan penguatkuasaan itu kira-kira 9 pagi tadi ke kawasan laut berkenaan.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor berkata proses membakar al-Quran dan membuang abunya ke laut merupakan kaedah yang tertib bagi tujuan pelupusan al-Quran demi memelihara kehormatannya.

Beliau berkata kaedah lain bagi melupuskan al-Quran ialah dengan menanamnya dalam tanah.

"Namun, kaedah itu dilihat kurang bersesuaian kerana dikhuatiri tapaknya dipijak dan menimbulkan rasa tidak senang," katanya kepada pemberita semasa operasi pelupusan abu al-Quran itu di sini, Khamis.

Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man pula berkata al-Quran itu dibakar menggunakan mesin pembakaran khas di Pusat Pelupusan al-Quran Pulau Pinang di Seberang Perai Selatan dekat sini, sebelum dibungkus dan dibawa ke laut.

"Proses pelupusan hari ini adalah yang kedua diadakan sejak pusat pelupusan di bawah pengurusan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan beroperasi dua tahun lepas," katanya.

Menurutnya proses pelupusan al-Quran di laut itu akan menjadi operasi tahunan bagi melupuskan kitab suci umat Islam itu secara tertib.-- Bernama


Al-Quran, Batu Uban, Pulau Kendi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain