suria

Ahli Perniagaan Ditembak Hidup Sederhana

GEORGE TOWN: Ahli perniagaan, Ruby Lee Poh Ai, yang maut ditembak pada Selasa adalah seorang yang menikmati kehidupannya secara sederhana.

Dalam posting Facebook terakhirnya pada 19 Februari, beliau telah menulis menulis bahawa 'kehidupannya adalah baik'.

Tetapi, dua hari kemudian kehidupannya berakhir dengan satu tragedi.

Rakan-rakan yang datang memberikan penghormatan terakhir kepada Ruby, 49, ibu kepada dua anak ini menggambarkan beliau sebagai seorang yang kuat semangat dan bijak.

Laman Facebooknya dipenuhi dengan gambar-gambar hobi dan aktiviti kecergasan yang menjadi rutinnya, serta gambar-gambar beliau memakai pakaian glamor.

Beliau juga adalah seorang 'kaki makan' dan menyayangi haiwan.

Pada Rabu, anak lelakinya yang berusia 23 tahun mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya dengan menyiarkan mesej yang menyayat hati di laman Facebook beliau.

"Orang selalu berkata tentang kehidupan yang singkat. Hargailah orang tersayang anda ketika mereka masih ada. Saya tak pernah terfikir perkara seperti ini akan berlaku kepada saya.

"Dalam sekelip mata, kamu hilang. Saya masih cuba untuk menerima hakikat bahawa saya tak akan dapat mendengar suara kamu lagi.

"Jika ada satu perkara yang saya kesali, ia adalah tidak menghargai kamu ketika peluang itu ada. Kini, segala-galanya tidak lagi bermakna. Seolah-olah sebahagian daripada diri saya telah hilang.

"Ibu, saya minta maaf atas segala-galanya. Maaf kerana tidak menjadi seorang anak yang taat, maaf kerana tidak dapat membalas jasa kamu, maaf kerana tidak dapat mengucapkan 'saya sayang kamu' untuk kali terakhir. Kamu akan sentiasa dirindui."

Seorang rakan Facebook yang tidak mahu namanya disiarkan berkata Ruby adalah seorang taat kepada agama dan akan melawat Kuil Buddha Buppharam di Jalan Perak setiap hari.

Gambar kereta Ruby, dengan tingkapnya dipenuhi dengan kesan tembakan menjadi viral di ruang siber dalam masa satu jam selepas beliau dibunuh pada Selasa.

Gambar itu juga telah mengejutkan rakan zaman kanak-kanaknya, Sharon Loh.

"Kami mempunyai kumpulan chat telefon untuk bekas pelajar Convent dan apabila gambar itu dikongsi, kami semua terkejut.

"Saya adalah rakannya ketika darjah satu. Dia bukan sahaja cantik, malah mesra dan ceria.

"Kami akan menyambut ulang tahun ke-50 bersama pada 8 Julai ini. Lee telah membayar bahagiannya. Saya sangat sedih dia tidak dapat bersama," kata Loh.

Artikel Lain