suria

Profesion Kewartawanan Harus Diperincikan - Ahmad Zahid

BANDUNG: Profesion wartawan mesti diperincikan sebagai satu bentuk peraturan diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata adalah perlu bagi mentakrifkan semula wartawan dan penulis media supaya soalan seperti siapa yang layak menjadi wartawan boleh ditangani secara serius.

"Jika sekarang sesiapa sahaja boleh menulis dan mempunyai kemudahan untuk mewujudkan kredibiliti, kuasa dan kebenaran, maka profesion kewartawanan harus memberi tumpuan untuk membincangkan kebenaran dan manifestasinya.

"Tidak semua orang boleh menjadi wartawan, bagaimanapun pengkritik akan berkata tindakan ini akan hanya menyekat kebebasan akhbar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Media Bagi Keharmonian Dunia bersempena Forum kelima Pihak Berkuasa Kawal Selia Penyiaran Negara Islam (IBRAF) di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata wartawan dan pengamal media haruslah dalam kalangan yang terpilih, mereka harus datang daripada yang terbaik, bijak, beretika, tidak memihak dan toleran.

Media dan pengamalnya harus memainkan peranan yang lebih kukuh dan lebih berkeyakinan dalam meletakkan dirinya ke arah membina keamanan," katanya.

Beliau berkata wujud anjakan yang membimbangkan terhadapnaratif kewartawanan apabila ekstremisme menggunakan imej sendiri.

Sikap melampau stereotaip etnik kini menjadi sebahagian besar naratif kewartawanan dan menjadi berita. 

Kewartawanan dan wartawan menjadi aktornya lebih-lebih lagi dalam pentas media baharu, katanya. 

Beliau berkata media harus merupakan dimensi pintar bagi keamanan dan keharmonian global dengan memudahkan dialog pelbagai budaya serta tamadun, mendidik manusia dan mengocak pemikiran kebudayaan serta peradaban.

Kita tidak perlukan hanya pandangan dunia yang dominan. Semua pandangan  dunia yang diperincikan dan diunjurkan oleh media haruslah dilihat  tidak berlandaskan pada pandangan monolitik tetapi pandangan alternatif dan majmuk yang merupakan ciri bidang ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata cabaran bagi media untuk keharmonian dunia adalah besar termasuk ideologi, penindasan kerajaan, negara dan perundangan peruntukan perlembagaan atau kekurangannya, pemotongan dalam pendapatan komersial dan teknologi.

Beliau berkata media dan keharmonian dunia bukanlah semata-mata berita mengenai negeri dan kerajaan tetapi juga berita mengenai kemanusiaan dan peradaban, serta dasar interaksi mereka terhadap kehidupan moden.

"Peranan agama dan kerohanian dalam media dengan dialog ketamadunan adalah kritikal dan kita tidak boleh meninggalkan agama apabila bercakap mengenai media dan keharmonian dunia. Tanpa agama tidak akan wujud keharmonian dunia dan tanpa media sebagai agen tidak akan ada peserta yang bermakna dalam kalangan kita," katanya.

Lebih 200 peserta menghadiri forum dua hari Ibraf itu dan mesyuarat yang diadakan di Kota Bandung bermula Rabu.-- Bernama

Ahmad Zahid, IBRAF, Bandung

Artikel Lain