suria

"Saya Mahu Jalan Sudah" Ayat Terakhir Mangsa Bot Karam

Sebahagian keluarga pelancong dari China tiba di Hospital Queen Elizabeth awal pagi Isnin ekoran kejadian bot karam jenis Catamaran, Sabtu. Bot itu yang membawa 31 orang termasuk tiga kru dan 28 pelancong warga China dipercayai karam akibat cuaca buruk dan laut bergelora. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: "Saya mahu jalan sudah" (saya mahu jalan dulu), itu kata-kata terakhir Absol Kassim, 26, kepada isterinya sebelum meninggalkan rumah untuk keluar bekerja.


Absol adalah antara kru bot pelancong jenis Catamaran yang karam bersama 30 yang lain termasuk 28 pelancong dari China ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, dekat sini dari jeti Tanjung Aru, di sini pada pagi Sabtu lalu.

Menurut isterinya, Amelia Samanail, 21, yang tinggal di Pulau Gaya di sini, suaminya mengucapkan kata-kata itu ketika keluar meninggalkan rumah pada pukul 7 pagi.

"Belum sampai sebulan dia bekerja dengan syarikat bot pelancong itu. Sebelum ini, suami saya bekerja sebagai penjual sayur," kata Amelia kepada Bernama ketika ditemui di jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin di sini tengah malam tadi.

Amelia berkata dia berada di pangkalan berkenaan bersama bapa, ibu dan kakak iparnya sejak pukul 8 pagi semalam selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan suaminya yang datang ke rumah.

"Saya berdoa semoga suami saya dijumpai dalam keadaan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat," katanya.

Menurut Amelia, dia akan terus menunggu di jeti berkenaan sehingga mengetahui secara pasti mengenai perkhabaran suaminya yang dianggapnya sebagai seorang suami yang rajin, bertanggungjawab dan penyayang.

Absol ialah antara enam individu yang masih hilang dalam tragedi bot pelancong karam itu dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan mereka.

Seramai 25 mangsa termasuk tiga yang terkorban ditemui petang semalam.

bot karam, Absol Kassim, Catamaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain