suria

Laporan CIA: Skandal BMF Jejas Reputasi Pentadbiran Dr M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Skandal menyelubungi Bank Bumiputra dan anak syarikatnya, Bumiputra Malaysia Finance (BMF) pada 1980 menjejaskan reputasi kerajaan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut dokumen yang didedah pada minggu lalu oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Dokumen tersebut mendakwa walaupun tiada bukti langsung bahawa Dr Mahathir terbabit dengan skandal rasuah itu, namun pentadbiran pimpinan beliau yang dipilih pada 1981 di bawah mandat 'kerajaan yang bersih' tercemar.

CIA mendakwa aspek paling merosakkan dalam hal itu ialah 'dakwaan kaitan George Tan (bekas Ketua Eksekutif Carrian Group) dengan pemimpin Umno'.

Dalam ringkasannya, laporan berkenaan menyatakan skandal rasuah itu menggugatkan kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kerana nama baik Bank Bumiputra (Bank Bumi), bank milik kerajaan Malaysia, terjejas oleh operasi dipersoalkan BMF yang juga anak syarikat milik penuhnya di Hong Kong.

"Kerahsiaan siasatan kerajaan, mempertahankan seperti yang diperlukan di bawah undang-undang kerahsiaan perbankan Malaysia dan tempoh lewat setahun selepas masalah itu timbul menjejaskan perubahan pengurusan di BMF menyebabkan kerajaan disyaki," dedah laporan bertajuk "The Bank Bumiputra Scandal: More Trouble Ahead for Malaysia's Mahathir?".

CIA berkata ramai ahli perniagaan dan pegawai bank percaya kerajaan menggunakan pegawai BMF yang didakwa sebagai kambing hitam dalam usaha mengelak mengaitkan pegawai kanan kerajaan.

Skandal itu membabitkan kos hampir AS$1 bilion (RM2.7 bilion ketika itu) melibatkan pinjaman kepada tiga spekulator hartanah Hong Kong termasuk Carrian Investment Group antara 1979 dan 1983.

Lebih menggemparkan apabila juruaudit BMF, Jalil Ibrahim yang dihantar untuk menyiasat kes pinjaman tersebut dibunuh di Hong Kong.

CIA mendakwa Dr Mahathir mengakui 'amalan pemberian pinjaman BMF adalah langkah kurang bijak dan berjanji akan bertindak jika penyelewengan pengurusan terbongkar.

Walaupun beliau berkali-kali menafikan sebarang penglibatan, laporan CIA mendedahkan bahawa berdasarkan bukti mengikut keadaan, skandal itu meluas sehingga ke dalam pentadbiran Dr Mahathir.

"Sebagai bank milik penuh kerajaan, Bank Bumi dikawal rapi oleh kedua-dua Kementerian Kewangan dan Bank Pusat.

"Tiada keputusan penting dibuat tanpa kelulusan pengetahuan mereka," katanya.

Laporan itu mendakwa tidak mungkin kerajaan tidak sedar pertambahan had pinjaman bank tersebut.

Katanya, beberapa pegawai BMF terlibat ada hubungan rapat dengan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selepas melepaskan portfolio kewangan.

CIA turut mendakwa Dr Mahathir turut mempunyai hubungan rapat dengan Nawawi Mat Awin yang juga pengerusi bank tersebut.

Dr Mahathir, BMF, skandal, CIA

Artikel Sebelum

Artikel Lain